Nikmat gula Melaka dalam masakan

Tinggal di Malaysia sememangnya boleh membuatkan kita rambang mata memilih makanan yang mahu dimakan.

Hal ini demikian kerana kita dimanjakan dan dilambakkan dengan bermacam-macam jenis pilihan makanan yang lazat dan paling penting sekali, mudah untuk didapati di mana-mana pada setiap masa!

Masyarakat Malaysia yang majmuk dan datang dari pelbagai lapisan kaum menjadikan pilihan makanan yang ada juga turut pelbagai.

Faktor penting yang menjadikan makanan di Malaysia lebih unik adalah kebanyakan makanan dan bahan masakan di sini tiada atau mungkin sukar untuk didapati di tempat-tempat lain di dunia. Satu contoh bahan ‘rare‘ ini ialah gula Melaka.

Gula Melaka: Sifat & Cara Pembuatan

Tidak keterlaluan jika kami katakan gula Melaka adalah antara bahan utama yang penting dalam kebanyakan menu masakan Malaysia. Berasal daripada nira pohon kelapa, gula Melaka suatu bahan makanan yang istimewa, bermula daripada proses pembuatannya sehinggalah ke proses penggunaannya. Terdapat pelbagai versi warna dan kondisi gula Melaka di Malaysia, bergantung pada bahan yang terdapat dalamnya dan cara pembuatannya,baik moden mahupun tradisional.

Secara umum, gula Melaka yang asli berwarna coklat keperangan dan mempunyai tekstur yang agak keras apabila disejukkan pada suhu bilik. Ia dibentuk dalam acuan silinder yang diperbuat daripada buluh (ukuran diameter sekitar 3 inci). Namun begitu, terdapat juga gula Melaka yang diletakkan dalam acuan daripada mengkuang dan lebih nipis.

Dari segi rasa pula, gula Melaka mempunyai rasa yang unik, iaitu manis (namun tidak keterlaluan jika dibandingkan dengan gula biasa), sedikit berkrim dan mempunyai aroma seperti dipanggang. Ada juga yang berpendapat bahawa gula mempunyai rasa seperti coklat, butterscotch dan karamel.

Bagi anda yang buntu dan tertanya-tanya bagaimana caranya gula Melaka boleh digunakan, di sini kami telah menyenaraikan beberapa cara untuk anda menikmatinya. Selamat mencuba!

Digaul bersama kelapa parut

Sukat kuantiti gula Melaka yang ingin digunakan dan dimasak atas api sederhana sehingga cair kemudian tambahkan dengan kelapa parut dan digaul sebati. Anda boleh tambahkan sedikit garam jika mahu bagi menjadikan rasanya lebih stabil. Campuran ini amat lazat jika anda ingin membuat inti bagi kuih-muih seperti kuih koci, kuih ketayap, kuih Puteri Mandi atau dimakan bersama pulut.

Dimasak menjadi sirap

Panaskan gula Melaka di atas api sederhana di dalam periuk sehingga cair dan letakkan daun pandan (jika mahu) bagi menambah aroma sirap gula Melaka agar lebih wangi. Masak sehingga mendidih kemudian sejukkan sebelum disimpan di dalam balang atau botol kedap udara. Anda boleh menjadikan sirap gula Melaka ini sebagai sos di atas penkek, dimakan bersama kuih lopis, dicicah bersama lemang, sebagai pemanis di dalam Ais Batu Campur (ABC) atau tambah sahaja ke dalam pencuci mulut kegemaran semua rakyat Malaysia iaitu cendol!

Teknik ini juga boleh digunakan bagi membuat salutan kuih keria gula Melaka. Bezanya, kuih keria yang siap digoreng akan dicelup atau digaul bersama gula Melaka yang telah cair ketika masih berada di atas kuali atau periuk tanpa perlu disejukkan terlebih dahulu.

Dicairkan menjadi kuah atau air gula Melaka

Jika anda ke pasar malam atau melalui gerai-gerai menjual makanan di tepi jalan, tentu sekali anda biasa ternampak mereka yang menjual makanan yang dinamakan pati soya, atau “Tau Fu Fah”. Anda juga biasa jumpa Tau Fu Fah dimakan bersama air gula biasa dan juga air gula Melaka, tapi tahukah anda cara nak membuat air gula itu?

Nah, cara membuat kuah daripada gula Melaka mudah sahaja! Anda cuma perlu masak gula Melaka yang dicampurkan bersama sukatan air yang banyak lalu diletakkan daun pandan ke dalam gula yang dicair itu. Sejukkan di dalam peti ais, kemudian bolehlah dihidang bersama pati soya ketika cuaca panas terik!

Air gula Melaka ini juga boleh dimakan bersama sejenis kuih yang dinamakan ‘Lompat Tikam’ yang berasal dari Kelantan. Kuih ini boleh dimakan bersama santan yang dimasak, pulut masak berwarna merah dengan adunan tepung kuih yang berwarna hijau dan putih.

Bahan adunan aneka kuih-muih

Oleh sebab rasanya yang enak, gula Melaka banyak digunakan bagi melengkapkan adunan beraneka kuih-muih tradisional Malaysia. Apa yang boleh anda lakukan adalah menambahkan kuantiti gula Melaka mengikut sukatan yang diperlukan ke dalam adunan kuih yang ingin dimasak dan hasilnya, kuih-muih yang sedap dan warna yang menarik akan terhasil! Kami berikan contoh-contoh jenis kuih muih yang menggunakan gula Melaka:

  • Agar-agar santan
  • Talam ubi kayu
  • Nasi manis
  • Bingka gula Melaka
  • Kasui
  • Kuih gerodok telur
  • Tepung talam gula Melaka
  • Kuih bakul

Selain contoh kuih muih yang diberikan di atas, terdapat banyak lagi jenis kuih yang boleh anda sediakan menggunakan gula Melaka.

Artikel ini diterbitkan dalam http://www.butterkicap.com/author/butterkicap-team/page/21