Putrajaya akan buka semula fail perjanjian Lynas

Lynas Corporation memproses nadir bumi – sejenis galian yang digunakan dalam penghasilan produk teknologi tinggi seperti komputer dan kereta elektrik sejak 2013. (Gambar Fail)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan “membuka semula” fail perjanjian membabitkan Lynas Corporation dengan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini berhubung pemprosesan nadir bumi di Pahang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh yang ditugaskan mempengerusikan jawatankuasa di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, berkata fail itu akan dibuka selepas jawatankuasa untuk menilai tahap keselamatan projek berkenaan dibentuk.

Beliau berkata, proses “membuka semula” fail tersebut bertujuan untuk melihat sama ada perjanjian melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu diberikan pengecualian cukai dan bebas radioaktif.

“Apakah kita ditipu di peringkat awal, sebab di peringkat awal yang saya ada dokumen mengatakan Lynas tidak memberitahu sisa mereka itu bersifat radioaktif.

“Hanya apabila saya bertanya baru (Lynas) mengaku ia adalah radioaktif. Saya takut kita dimanipulasi sehingga menerima industri itu sebab mereka kata mereka industri hijau… (tapi) tak ada hijau mengenai sisa radioaktif,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Lynas Corporation, sebuah syarikat perlombongan Australia mengendalikan kilang pemprosesan Lynas (LAMP) di Pahang yang memproses nadir bumi – sejenis galian yang digunakan dalam penghasilan produk teknologi tinggi seperti komputer dan kereta elektrik sejak 2013.

Aktivis alam sekitar membantah kehadirannya di Malaysia sejak awal lagi, tetapi kerajaan BN dan Lynas menjamin semua langkah keselamatan diambil. Lynas berkata sisa radioaktif dilemahkan ke paras selamat terlebih dahulu sebelum dijadikan produk sampingan seperti baja tanah.

Menurut laporan SBS News, nadir bumi dilombong di Australia oleh Lynas yang berpangkalan di Austrialia Barat dan dipasarkan ke seluruh dunia termasuk China, selepas ia diproses di Malaysia.

Mengulas lanjut, Fuziah yang juga ahli parlimen Kuantan berkata antara mereka yang akan dilantik dalam jawatankuasa itu terdiri daripada pakar alam sekitar, kesihatan, undang-undang antarabangsa dan kejuruteraan alam sekitar. Pelantikan itu juga akan dibuat secepat mungkin.

“Mereka perlu dilantik oleh Yeo Bee Yin sebelum saya boleh pengerusikan mesyuarat,” katanya merujuk menteri Tenaga, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar dan ia turut melibatkan pakar di kementerian itu.

Katanya, pakar yang dilantik itu adalah di dalam Malaysia dan antaranya, pakar undang-undang antarabangsa Prof Gurdial Singh Nijar bagi memberikan “input” kepada jawatankuasa.

“(Contohnya) adakah ianya bertentangan dengan undang-undang, membawa keluar bahan radioaktif daripada Australia ke Malaysia dan kita terima. Bagaimana dengan sisa radioaktif itu, undang-undang kita kata apa,” katanya.

Fuziah mendakwa, pemprosesan nadir bumi itu juga mempunyai kesan jangka masa panjang seperti mungkin selepas 30 tahun baru memberikan kesan.

“(Kesannya) akan ambil masa lama dan inilah kita nak pastikan paling selamat untuk warga Kuantan.”