Rakyat kita terlebih cuti atau kerja?

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menggubal undang-undang bagi mengurangkan bilangan hari bekerja dalam setahun dan jumlah jam bekerja seminggu, bagaimanapun Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengadu pekerja di Malaysia mempunyai terlalu banyak cuti.

J Solomon.

Mengulas laporan Kementerian Sumber Manusia yang kini merangka kajian semula Akta Pekerjaan, Setiausaha Agung MTUC, J Solomon menyarankan cuti tahunan dipanjangkan lebih 16 hari yang digunapakai sekarang dan tempoh bekerja maksimum ditetapkan 48 jam seminggu.

Bercakap kepada FMT, Solomon juga mencadangkan pekerja diberi cuti bersalin kepada bapa selama sebulan dan ibu pula 90 hari.

Bagimanapun Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan, mendakwa produktiviti Malaysia rendah disebabkan bilangan hari bercuti yang diberikan kepada pekerja.

“Kita mempunyai terlalu banyak cuti umum dan cuti rehat,” katanya, “dan ini memberi kesan kepada daya saing negara.

“Apa yang boleh dilakukan kerajaan adalah meningkatkan bilangan hari bekerja. Kita mesti mengkaji semula beberapa peruntukan cuti, seperti cuti tahunan.

Shamsuddin Bardan.

“Juga, apabila Akta Pekerjaan diperkenalkan pada 1955, pekerja digalakkan bekerja 6 hari seminggu, tetapi sekarang, kebanyakan syarikat bekerja 5 hari seminggu.”

Beliau berkata warga Singapura 3.8 kali lebih produktif daripada rakyat Malaysia dan mencadangkan kerajaan melihat bagaimana jam kerja diuruskan di republik itu.

Shamsuddin juga mencadangkan kerajaan menjelaskan definisi “gaji”, mengatakan pelbagai undang-undang dan peraturan berkaitan pekerjaan masing-masing mempunyai tafsiran sendiri, menjadikan ia sukar untuk menyelesaikan pertikaian antara majikan dan pekerja.

Solomon berkata MTUC sudah lama menuntut semakan semula holistik Akta Pekerjaan dan undang-undang lain yang memberi kesan kepada pekerja, mendakwa banyak peruntukan, terutama yang diwarisi dari zaman penjajah yang bersifat menindas.

Beliau mencadangkan meluaskan peruntukan bagi melindungi pekerja dari gangguan seksual, termasuk peruntukan untuk melindungi pekerja asing domestik dan menetapkan pampasan sekurang-kurangnya 1 bulan gaji untuk setiap tahun pekerjaan.