Sasterawan nafi bahasa Melayu ‘dianak tiri’, ‘dinodai’

Lim Swee Tin berkata tiada krompomi dalam penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pentadbiran. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bahasa Melayu tidak pernah tergugat walaupun bahasa Inggeris menjadi bahasa perniagaan sejagat, diikuti bahasa Mandarin.

Sasterawan dan pejuang bahasa Dr Lim Swee Tin berkata sesuatu bahasa menempuhi perubahan untuk menyempurnakan kedudukan, peranan dan fungsinya.

“Memasukkan banyak kata ambilan ke dalam bahasa Melayu suatu ketika dahulu dikatakan menggugat keaslian dan ‘melacurkan’ bahasa Melayu.

“Akan tetapi ternyata langkah itu perlu, serta wajar, untuk memastikan kompetensinya. Bagi saya penggunaan kata tergugat, ‘dianak tirikan’ atau ‘dinodai’ dan seumpamanya sukar dibuktikan kebenarannya.

“Rakyat tidak menganggap bahasa Melayu adalah bahasa yang lebih rendah daripada bahasa komunikasi dan ilmu kerana penggunaan bahasa Melayu sama sekali tidak mencerminkan kedudukannya yang lebih rendah. Ia bahkan menunjukkan bahasa Melayu tetap mempunyai nilai ekonomi yang tinggi,” katanya kepada FMT.

Semalam, Dr Teo Kok Seong menolak pendapat sesetengah kalangan bahawa bahasa Melayu secara intrisiknya lebih rendah daripada bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi dan ilmu.

Felo penyelidik utama di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, bahasa kebangsaan itu, terutama jelmaan modennya, adalah sama berguna seperti bahasa utama dunia lain sebagai alat komunikasi dalam pelbagai bidang kegiatan manusia.

Teo menjangkakan bahasa Inggeris dan Mandarin akan terus digunakan secara meluas dalam sektor swasta negara ini, namun bahasa Melayu akan terus berkembang sebagai sebuah bahasa.

Mengulas lanjut, Lim berkata, biar masyarakat menentukan pilihan ke arah penguasaan ketiga-tiga bahasa di Malaysia iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

“Penegasan yang diperlukan adalah meletakkan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang dihormati oleh semua orang dan semua pihak.

“Kita mesti tekal dalam hal ini, tidak boleh berbolak balik. Untuk menguasai baik bahasa Inggeris dan Mandarin ia bergantung kepada keperluan.

“Jika sesiapa merasakan ada keperluan mempelajari apa-apa bahasa, juga ada kemampuan mempelajarinya mengapa tidak? belajarlah, lagi pun ia tidak bercanggah dengan perlembagaan negara kita.

Katanya, mempelajari bahasa bukan menganut fahaman komunis. Namun, dalam setiap perlakuan, urusan rasmi dan pentadbiran penggunaan bahasa rasmi negara sudah tentu tiada komprominya.