5 iklan merdeka 2018 yang berunsur segar

Bercakap mengenai sambutan dan perayaan, Malaysia tak pernah leka dengan iklan dan video filem pendek yang membawa pelbagai perspektif berbeza dari umum.

Pada hari kebangsaan tahun 2018 ini yang bakal disambut di Putrajaya dengan tema Sayangi Malaysia, kita terus dibanjiri dengan kepelbagaian iklan-iklan khususnya di laman sosial.

Bagi mereka yang tidak sempat menontonnya di kaca televisyen mahupun di laman sosial, FMT Ohsem menyenarai beberapa iklan yang menjadi tarikan ramai selain intipatinya yang segar dan baharu.

Mari kita lihat 5 iklan hari kebangsaan, “Sayangi Malaysia” pilihan FMT.

1. Eksperimen sosial Media Prima paling ditonton

Keunikan Malaysia yang diiktiraf seantero dunia ialah kita antara negara terawal yang dibina dengan asas kepelbagaian bangsa dan budaya. Walaupun wujud perbezaan, ia jugalah yang menyatukan kita di bawah bumbung perpaduan selama 61 tahun sejak merdeka. Syarikat Media Prima mengambil pendekatan untuk menguji perpaduan kita sebagai Rakyat Malaysia menerusi sebuah klip video eksperimen sosial yang dijalankan di Pavilion KL.
Ia menilai perpaduan di antara kaum dan bangsa di Malaysia dengan melemparkan beberapa soalan di ‘skrin gergasi’ Pavilion kepada orang ramai yang berada di kawasan sekitar secara rambang. Beberapa kotak jawapan juga disediakan untuk orang ramai berinteraksi dalam memberi jawapan.
Sesi eksperimen sosial itu telah diakhiri dengan lagu tema Hari Kebangsaan 2018 yang bertajuk Kita Punya Malaysia yang dinyanyikan secara langsung oleh kumpulan Bunkface di hadapan orang ramai yang tidak menjangkakan kemunculan tersebut.

Dimuatnaik oleh TV3MalaysiaOfficial, video itu ditonton lebih 8,000 kali di Youtube. Jom kita saksikan!

2. Kumpulan TM bawa pelbagai perjalanan ke satu destinasi

“Perjalanan kita mungkin berlainan, namun destinasi kita adalah sama”, demikian ringkasan yang diberikan kepada klip video yang dibawa oleh Kumpulan TM. Mengharungi perjalanan yang berbeza tetapi kita semua mahukan pengakhiran yang sama iaitu Malaysia yang aman, sejahtera dan bersatu, elemen ini disampaikan secara bersahaja dalam iklan ini.
Ia memapar latar belakang berbeza rakyat Malaysia tetapi mempunyai kaitan dan bertemu dalam satu situasi yang tidak dijangka.
Menariknya mengenai iklan ini ialah lagu “sejahtera Malaysia” dinyanyikan dalam 6 bahasa berlainan, iaitu bahasa pertuturan utama di negara kita.
Sememangnya salah satu iklan klip video yang wajib ditonton menjelang Hari Kebangsaan!

3. Iklan paling tipikal The Chicken Rice Shop

Iklan dan hari merdeka tak boleh dipisahkan, dan iklan yang tipikal adalah melibatkan bangsa-bangsa utama di Malaysia. Itulah yang disampaikan secara terus-terang oleh syarikat The Chicken Rice Shop apabila memperkenalkan satu iklan yang bukan sahaja simple dan “straight forward” namun tetap ada elemen tarikannya. Tontonkan iklan yang hanya guna latar skrin hijau dan membawa anda berjalan ke beberapa destinasi sambutan “Sayangi Malaysiaku” tahun ini.

4. Jawapan jujur kanak-kanak untuk hari Kebangsaan

Kanak-kanak menjadi intipati utama dalam iklan yang dibawakan oleh OEI Corp ini. Pihak OEI menjalankan temuramah dengan kanak-kanak untuk bertanyakan maksud dan pandangan mereka mengenai hari Merdeka. Tarikan utama dalam iklan ini ialah kejujuran dan kejelasan kanak-kanak dalam menjawab soalan sehinggakan ada yang mencuit hati, menyentuh perasaan dan tidak kurang yang kelakar.

5. Lain dari lain, tonton sekali tak cukup, Digi

Memang lain daripada kebiasaan, syarikat telekomunikasi Digi Telecommunications sekali lagi membuktikan kemampuan mereka dalam membawa iklan yang penuh bermakna. Dengan hanya menggunakan patung-patung kecil sebagai subjek penyampaian, dialun dengan suara latar lelaki yang lantang lagi jelas, setiap kata-kata yang diucapkan membawa erti mendalam selain memberi kesan kepada penontonnya.
Bagi mereka yang mahukan pembaharuan, sama ada dari segi persembahan mahupun dialog latar, inilah iklan yang anda cari.