5 sekeluarga maut dalam tanah runtuh di Nepal

KATHMANDU: Sepasang suami isteri bersama 3 anak terbunuh, selepas rumah mereka runtuh di sebuah kampung di kawasan pedalaman daerah Salyan, barat Nepal, pada malam Selasa.

Lelaki berusia 40 tahun dan isterinya, 35, bersama 2 anak perempuan dan seorang anak lelaki, masing-masing berusia 6, 7 dan 4 tahun maut di tempat kejadian.

Kejadian itu dikatakan akibat tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat, kata Ketua Polis Salyan, Birendra Bahadur Shahi kepada agensi berita Xinhua pada Rabu.

“Ketika kejadian, semua mangsa sedang tidur,” katanya sambil menambah seorang lagi anak perempuan mangsa berusia 11 tahun cedera.

Berikutan musim hujan, Jabatan Hidrologi dan Meteorologi Nepal mengingatkan penduduk sentiasa berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlaku tanah runtuh.