
PETALING JAYA: Timbalan pendakwa raya menarik balik 14 pertuduhan menghina Sultan Johor yang dihadapi aktivis, Khalid Mohd Ismath, kata peguamnya.
Roger Chan yang mewakili Khalid berkata, 3 pertuduhan itu membabitkan Akta Hasutan, manakala baki 11 pertuduhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Timbalan pendakwa raya sudah menggugurkan semua tuduhan…kes ini berlarutan selama 3 tahun. Ini satu perjuangan yang panjang.
“Sebelum kes ini digugurkan, saya sudah kemuka representasi kepada Jabatan Peguam Negara. Selepas kes digugurkan, Khalid tidak dikaitkan dengan apa-apa kes.
“Hakim mahkamah juga tidak berhak berkata apa-apa, jika timbalan pendakwa raya memutuskan untuk menggugurkan kes setelah mendapat arahan dari Jabatan Peguam Negara,” katanya kepada FMT hari ini.
Pada 9 Oktober 2015, Khalid didakwa memuat naik 3 komen berasingan yang mengandungi perkataan menghasut di Facebook berkaitan solidariti bagi peguam, Kamal Hisham Jaa’far.
Bagi 11 pertuduhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Khalid didakwa satu komen jelek di laman sosial sama antara 2 September hingga 5 Oktober 2015.
Hakim, Datuk Mohd Sofian Abd Razak dilapor memberi pelepasan perintah interim dengan jaminan RM70,000, iaitu RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan Khalid juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Hari ini, Chan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan membuat pendakwaan di Johor, bukannya di mahkamah Kuala Lumpur.
“Saya sendiri bertanya kenapa diadakan di Johor Bahru, sedangkan boleh dilakukan di Kuala Lumpur. Pihak pembelaan terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk berulang-alik.
“Sehingga hari ini, sewaktu kes digugurkan, persoalan itu masih tidak dijawab. Lebih senang jika pertuduhan dilakukan di Kuala Lumpur atau Lembah Klang.”
Sementara itu, Khalid berkata, keputusan itu ialah petanda kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang menunaikan janji untuk melaksanakan reformasi terhadap institusi negara.
“Ini salah satu yang berjaya dilakukan kerajaan. Saya hargai dan gembira atas keputusan Jabatan Peguam Negara, jadi mana-mana aktivis yang hendak bersuara, menegur golongan elit tidak perlu lagi takut.
“Kritikan terhadap golongan yang selama ini dilihat kebal boleh dilakukan secara terbuka, selepas ini saya akan lebih banyak bercakap mengenai salah laku golongan ini,” katanya ketika dihubungi FMT.