Bekas ketua risikan Hasanah direman 5 hari

Hasanah Abdul Hamid yang berpakaian lokap SPRM berwarna jingga, menggunakan tudung menutup mukanya ketika dibawa keluar dari mahkamah.

PUTRAJAYA: Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid direman 5 hari untuk membantu siasatan kes penyelewengan dana pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Timbalan pendakwa raya, Ahmad Akril Gharib memohon perintah reman 7 hari, tetapi Majistret, Shah Wira Abdul Halim hanya membenarkan reman 5 hari sehingga Ahad ini.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.

Peguam, Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah berkata, beliau akan memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan esok untuk mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa menghalang beliau menemui anak guamnya.

Katanya, SPRM berbuat demikian melalui surat pemberitahuan yang dikeluarkan di bawah Seksyen 28 A(8) Kanun Keseksaan.

“Sejak surat itu dikeluarkan, ia telah menyekat saya berjumpa klien sepanjang proses reman berlangsung.

“Mereka dakwa dengan membenarkan peguam berjumpa klien, maka orang tertentu itu akan lari daripada siasatan atau bahan bukti kes boleh dihapuskan.

“Ini langsung tiada kena-mengena dengan saya dan Mahkamah Tinggi atau Persekutuan perlu bertanggungjawab memberi jawapan munasabah.”

Hasanah, 61, ditahan SPRM petang semalam apabila hadir memberi keterangan di ibu pejabat agensi anti-rasuah itu, di sini.

Siasatan awal SPRM mendapati Hasanah dipercayai terbabit menyalahgunakan dana PRU14 untuk tujuan peribadi, bersama 7 pegawai lain di Jabatan Perdana Menteri.

Seorang timbalan ketua pengarah jabatan bergelar “Datuk” bersama 6 pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) direman 5 hari, bermula semalam, untuk membantu siasatan kes penyelewengan dana PRU14.

Menurut sumber, “Datuk” itu adalah individu penting selepas Hasanah dalam MEIO.

Hasanah menjadi tumpuan media selepas tersebar surat bertarikh 4 Mei lalu kepada Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Gina Haspel meminta Washington menyokong pentadbiran bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, jika Barisan Nasional menang mudah dalam PRU14.

Hasanah mengesahkan beliau menulis surat 3 halaman itu dan mempertahankan diri daripada tuduhan khianat.