ERC timbang tarik kuasa JPPM daftar parti politik

Rashid berkata, rombakan secara besar-besaran akan dibuat bagi memastikan pilihan raya akan datang lebih baik daripada sebelum ini.

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem Dan Undang-Undang Pilihanraya (ERC) mempertimbangkan untuk menarik balik kuasa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk mendaftarkan parti politik.

Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, fungsi itu sepatutnya diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang harus bertanggungjawab untuk mengawal selia parti politik.

“Bila mereka ada kuasa untuk mendaftar, maka mereka juga ada kuasa untuk kawal selia.

“Jadi ERC sedang melihat perkara itu, kemungkinan akan tarik kuasa JPPM,” katanya.

Pada 16 Ogos lalu, kerajaan menubuhkan ERC bagi mengkaji semula sistem dan undang-undang pilihan raya negara.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Rashid yang merupakan bekas pegawai awam berpengalaman luas dalam pengurusan pilihan raya.

Sebelum pilihan raya umum pada 9 Mei lalu, JPPM mengarahkan pembubaran sementara PPBM kerana gagal mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusatnya serta penyata kewangan parti itu setelah diarah berbuat demikian pada 28 Februari melalui satu notis mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.

Pakatan Harapan yang merupakan gabungan 4 parti politik selain PPBM, iaitu DAP, PKR dan Amanah memutuskan untuk bertanding di bawah logo PKR di Semenanjung Malaysia kerana JPPM enggan meneruskan pendaftaran PH dengan menyatakan masalah dihadapi PPBM dan DAP bsebagai puncanya.

Jawatankuasa ERC terdiri daripada 11 ahli yang dilantik, antaranya Datuk Kamarudin Md Nor, Wan Saiful Wan Jan dan ahli akadmeik Prof Madya Faizal Hazis.

Pada sidang media pertamanya, Rashid berkata, rombakan secara besar-besaran akan dibuat bagi memastikan pilihan raya akan datang lebih baik daripada sebelum ini.

Beliau berkata ERC telah menyenaraikan 15 cadangan penambahbaikan dalam undang-undang dan amalan pilihan raya, termasuk penghapusan sistem “first past the post’ dan menggantikan SPR dengan sebuah badan pengurusan pilihan raya.

ERC diberi tempoh 2 tahun untuk mengemukakan cadangannya kepada kerajaan.