Forest City: Jangan takutkan pelabur, Cenbet ingatkan Putrajaya

‘Jurang komunikasi’ seperti kes Forest City boleh menggugat keyakinan pelabur kata Cenbet. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Center for Better Tomorrow (Cenbet) menggesa Putrajaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keyakinan pelabur terhadap negara ini berikutan pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa orang asing tidak akan dibenarkan membeli unit kediaman di Forest City.

Naib presiden Cenbet, Simon Lim berkata kenyataan Dr Mahathir itu adalah sebahagian daripada “corak membimbangkan tentang cara bagaimana dasar penting kerajaan diumumkan”.

Katanya, walaupun perdana menteri kemudiannya menjelaskan bahawa orang asing dibenarkan membeli hartanah tertakluk kepada syarat tertent, namun “jurang komunikasi” sedemikian mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur.

“Ia juga menimbulkan pertanyaan tentang campur tangan kerajaan persekutuan dalam urusan tanah, yang sepatutnya berada di bawah bidang kuasa negeri,” tambahnya,

Lim dalam satu kenyataan berkata, “kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga dilihat berbolak-balik berhubung projek mega lain seperti kereta api laju Kuala Lumpur ke Singapura (HSR) dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

“Oleh sebab projek bernilai puluhan bilion ringgit ini melibatkan kerajaan dan pelabur asing, maka apa-apa perkembangan besar tentangnya akan menarik penelitian media antarabangsa.

“Justeru kerajaan di Putrajaya masih baru, negara perlu mengurangkan kebimbangan pelabur, bukan menambah ketidaktentuannya, terutama sekali kerana kita memerlukan lebih banyak pelaburan asing langsung (FDI) dalam langskap ekonomi yang semakin kompetitif,” katanya.

Isnin lepas, Dr Mahathir mendakwa projek Forest City dibina “untuk orang asing, bukan untuk rakyat Malaysia”.

“Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu membeli apartmen itu.

“Yang pasti, bandar yang akan akan dibangunkan itu tidak boleh dijual kepada orang asing. Kita tidak akan mengeluarkan visa supaya mereka boleh datang dan tinggal di sini,” katanya.

Bagaimanapun pemaju Forest City, Country Garden Pacificview berkata, kenyataan perdana menteri itu dilaporkan di luar konteks oleh media.

Ia berkata, tiada undang-undang yang menghalang orang asing daripada membeli hartanah di Malaysia, dan persoalan pemilikan asing di Forest City bukan isu dalam pertemuan pengerusi syarikat, Yeung Kwok Keung dengan Dr Mahathir pada 16 Ogos lepas.

Lim berkata, Cenbet menyokong penuh cadangan PH menyemak semula atau membatalkan perjanjian berat sebelah yang merugikan negara.

“Tetapi dalam proses itu, kerajaan perlu berhati-hati berhubung sentimen pelabur antarabangsa dan kesejahteraan ekonomi jangka panjang negara.
pelabur.

“Apa-apa pengumuman mengenai keputusan dasar penting hendaklah dibuat dengan cermat dengan mengambil kira pandangan daripada pelbagai kelompok berkepentingan.”