Hasanah: SPRM mohon tahanan reman bantu siasatan

Hasanah ditahan SPRM dipercayai atas dakwaan salah guna kuasa kerana menyelewengkan dana pilihan raya.

PUTRAJAYA: Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Putrajaya diiringi beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau tiba di mahkamah sekitar jam 9.10 pagi dengan berpakaian lokap dan bertudung ungu.

Hasanah dibawa ke mahkamah untuk meminta tahanan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.

Permohonan dikemukakan kepada Majistret Khir Nizam Jemari di sini hari ini.

Semalam, Hasanah ditahan SPRM dipercayai atas dakwaan salah guna kuasa kerana menyelewengkan dana sewaktu pilihan raya.

Terdahulu, seorang timbalan ketua pengarah jabatan yang bergelar “Datuk” bersama 6 pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) direman 5 hari untuk membantu siasatan kes penyelewengan dana pilihan raya umum ke-14 lalu.

Menurut sumber, “Datuk” itu juga adalah individu penting selepas Hasanah dalam organisasi yang sama.

Pada Mei lepas, Hasanah menulis surat kepada pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) meminta sokongan Washington kepada pentadbiran bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Surat itu antara lain berkata Najib lebih baik untuk hubungan AS-Malaysia berbanding Dr Mahathir, yang disifatkan sebagai anti-Semitik dan anti-Barat.

Najib menjauhkan dirinya daripada surat tersebut.