Kecuali SST: Habib Jewels jangka pertumbuhan jualan 30% tahun ini

Habib menjangkakan trend menaik akan berterusan kerana barang kemas adalah antara barang yang dikecualikan daripada cukai SST. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Habib Jewels Sdn Bhd menyasarkan jualan meningkat 30% pada separuh kedua tahun ini berikutan kenaikan perbelanjaan pengguna terhadap produk barang kemas yang akan dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan dilaksana tidak lama lagi, kata pengarah urusan, Datuk Seri Meer Sadik Habib.

“Bagi tempoh yang sama tahun lepas, Habib hanya mencatat peningkatan jualan antara 3 ke 4% dan kami berharap jualan akan kukuh sehingga akhir 2018,” katanya hari ini ketika mengulas mengenai kesan SST pada perniagaan barang kemas.

Berikutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar mulai 1 Jun, Habib Jewels mengalami peningkatan jualan barang kemas sepanjang tempoh 3 bulan tanpa cukai tersebut.

Habib menjangkakan trend itu akan berterusan kerana barang kemas adalah antara barang yang akan dikecualikan daripada cukai SST yang akan mula dilaksanakan pada Sabtu.

Sempena Hari Merdeka, Habib Jewels menawarkan diskaun 70% ke atas produk berlian dan batu permata terpilih sepanjang 10 hari Merdeka Bazaar mulai 24 Ogos.

Meer Sadik berkata, pelanggan juga akan menikmati diskaun antara RM10 dan RM25 setiap gram untuk barang kemas emas 916 dan 999.

“Habib juga menawarkan loket emas 916 reka bentuk Malaysia dengan harga menarik iaitu RM88 seutas, loket emas Jalur Gemilang pada RM161, sepasang anting-anting mutiara pada RM61 dan cincin batu bulan lelaki pada RM388,” katanya.