Masakan ‘air tangan’ Kak Yah tumpuan pelanggan

‘Air tangan’ – simpulan bahasa yang bermaksud masakan seseorang, sering kali dikaitkan dengan hidangan yang enak.

Jadi tidak hairan jika ‘air tangan’ menjadi ‘modal’ dan ‘resipi’ utama Kamariah Salleh, 37, bagi memastikan kualiti dan keenakan hidangan di kedai miliknya – Warung Kak Yah – sentiasa konsisten.

Walaupun mempunyai 10 pekerja, mereka hanya membantu dalam penyediaan bahan-bahan mentah kerana beliau, yang lebih mesra dipanggil Kak Yah, akan menyediakan kesemua hidangan harian menggunakan resipi warisan ibunya.

Bagi Kak Yah, penting untuk beliau ‘masuk’ ke dapur, kerana walaupun sama resipi, tidak semesti rasanya akan sama jika dimasak oleh orang lain.

Saban hari, selama 3 jam sejak awal pagi, Kak Yah ‘bergelut’ di dapur warungnya, memasak kira-kira 30 hidangan agar dapat memenuhi pelbagai selera pelanggannya.

Hasil laut segar

Warung Kak Yah terletak di tepi jalan berdekatan masjid terapung, Masjid Tengku Tengah Zaharah di Kuala Ibai, kira-kira 7 km dari Kuala Terengganu.

Antara sajian harian adalah pelbagai ikan bakar dan beberapa jenis singgang termasuk sotong, ikan dan telur ikan, ayam percik Terengganu serta lauk pauk lain seperti ayam masak merah, sup daging, sambal sotong, ikan baung masak tempoyak air asam, sambal dan ulam-ulaman. Bekalan hasil laut segar dibeli daripada nelayan setiap hari.

Pelbagai hidangan bermacam rasa – masam, manis, pedas dan lemak – setiap hidangan mempunyai rasa yang tersendiri.

Menjelang waktu makan tengah hari, orang ramai berpusu-pusu ke Warung Kak Yah yang memang terkenal kerana harga makanannya yang sangat murah, lauk pauk yang enak dan menepati selera pelanggan.

Ketika itu, keadaan dalam warung itu memang sibuk dengan orang ramai, ada yang memilih makanan, yang beratur, membungkus, membayar dan menunggu tempat duduk.

Faham kehendak pelanggan

“Sedap dan harga murah,” sudah menjadi buah mulut sesiapa sahaja yang pernah mengunjungi Warung Kak Yah.

Ibu kepada 6 anak itu memberitahu Bernama, beliau menetapkan harga sebegitu kerana mahu memberi peluang dan memudahkan pelanggan menikmati makanan di warungnya tanpa terlalu memikirkan harga makanan.

Harga bagi ikan bakar adalah RM8 seekor siakap, RM3.50 bagi ikan kerisi dan RM3 bagi cencaru, kembung dan keli. Hidangan lauk-pauk lain termasuk yang berasaskan ayam kebanyakannya RM3 satu hidangan.

“Kak Yah bukan orang senang, jadi memang faham kehendak orang ramai yang mahukan makanan sedap dan paling penting harganya murah. Ini juga sebahagian daripada amal jariah Kak Yah untuk orang ramai.

“Biarlah untungnya sedikit asalkan rezeki berpanjangan selain pada masa sama dapat memberi manfaat kepada orang ramai,” tambah beliau.

Makanan tradisional

Bermula secara kecil-kecilan pada 2003, sejak itu Warung Kak Yah terus menjadi tumpuan bukan sahaja di kalangan masyarakat setempat malah orang ramai yang mengunjungi mahupun sekadar berlalu di kawasan itu terutamanya ketika musim cuti persekolahan dan cuti umum .

“Ada juga pelanggan dari Kuala Lumpur datang ke warung ini semata-mata untuk makan ikan bakar yang pernah dinikmatinya ketika bercuti ke Terengganu sebelum itu.

“Datang naik kapal terbang pada waktu pagi dan selepas makan, terus bergegas semula ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk balik ke ibu kota. Memang sangat terharu apabila air tangan Kak Yah mendapat tempat yang begitu istimewa pada pelanggan,” katanya.

Seorang kakitangan awam, Abdul Rahman Ali, 52, yang kerap mengunjungi warung itu untuk makan tengahari mengakui harga makanan di kedai itu terlalu murah berbanding kedai-kedai makan yang lain.

“Tadi saya datang bersama 8 orang kawan, bayangkanlah bermacam yang kami makan, kami hanya bayar RM48 sedangkan jika makan di tempat lain dengan lauk yang sama, biasanya lebih RM100.

“Jika ada saudara mara atau kawan-kawan datang dari luar pun, saya bawa makan di sini kerana mereka boleh menikmati makanan tradisional Terengganu yang sebenar, murah dan layanan pun sangat memuaskan,” katanya.

Terkejut murah

Seorang lagi pelanggan yang ditemui, Ahmad Aizudin, 37, pula mengakui harga makanan di Warung Kak Yah bukan sahaja sangat murah malah paling sedap yang pernah beliau nikmati di negeri ini.

“Setiap kali saya muat naik gambar makanan warung ini di laman sosial, mesti ramai kawan-kawan yang terkejut bila mengetahui harga makanan di sini, maklumlah sekarang ini harga semua barang agak mahal, jadi bila ada tempat makan yang murah, tentulah mendapat sambutan ramai.

“Saya berharap lebih ramai peniaga akan mencontohi Kak Yah yang lebih memikirkan perniagaan jangka masa panjang selain mengutamakan kepuasan pelanggan,” katanya.