Peguam negara pertimbang pinda pertuduhan untuk tahanan Sosma dibicarakan

Hanipa Maidin berkata, beliau sudah membincangkan permintaan sekumpulan tahanan Sosma di Penjara Sungai Buloh dengan Tommy Thomas.

PETALING JAYA: Peguam Negara, Tommy Thomas mempertimbangkan untuk meminda pertuduhan terhadap kira-kira 400 tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk membolehkan mereka dibicarakan.

Ini susulan perjanjian dengan sekumpulan tahanan Sosma di Penjara Sungai Buloh untuk menghentikan mogok lapar mulai Jumaat hingga Ahad lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin yang menemui tahanan itu berkata, beliau sudah berbincang dengan Thomas berhubung permintaan mereka di bawah Sosma.

Setakat 27 Ogos lalu, katanya, 442 tahanan direman di bawah Seksyen 13 Sosma kerana menganggotai pelbagai kumpulan jenayah terancang dan bergaul atau membantu kumpulan itu, yang merupakan kesalahan di bawah Bab VIB Kanun Keseksaan.

“Untuk 442 tahanan ini, peguam negara dengan kapasitinya sebagai pendakwa raya sedang mempertimbangkan sama ada jabatannya boleh meminda pertuduhan terhadap mereka antara lain untuk kesalahan berikut:

“Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 – menjadi anggota pertubuhan menyalahi undang-undang – dan Bab VIII Kanun Keseksaan, Seksyen 141 sehingga 158 – kesalahan terhadap ketenteraman awam.”

Hanipa dalam kenyataan hari ini berkata, proses itu akan mengambil masa dan berdasarkan setiap kes berasingan.

Katanya, Kanun Prosedur Jenayah, bukan Sosma, akan mengawal aspek prosedur jika pertuduhan itu dipinda.

Beliau berkata, pendakwa raya akan mengutamakan tahanan yang sakit atau lemah, wanita dan juvana.

“Apabila pertuduhan dipinda, tertuduh sama ada boleh mengaku bersalah atau minta dibicarakan.

“Jika tahanan itu minta dibicarakan terhadap pertuduhan dipinda, ikat jamin oleh diberikan kepada mereka, tetapi terpulang kepada budi bicara mahkamah, sama ada hendak memberi ikat jamin.”

Mengenai pertuduhan jenayah terhadap 22 tahanan lain untuk kesalahan di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan membabitkan aktiviti pengganas, ahli Parlimen Sepang itu berpendapat ia terpulang kepada peguam negara sehingga Kabinet membuat keputusan muktamad mengenai Sosma.

Julai lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan memansuhkan Sosma yang dilihat sebagai pengganti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan pada 2012.

Kerajaan Barisan Nasional terdahulu mempertahankan akta itu dengan berkata, ia perlu untuk mengekang ekstremis, termasuk mereka yang dikaitkan dengan IS.

Di bawah Sosma, seseorang itu boleh ditahan sehingga maksimum 28 hari dan polis boleh menangguhkan pertemuan tahanan dengan keluarga dan peguam sehingga 48 jam selepas ditahan.