PRK Seri Setia: Halimey tekad atasi masalah perumahan

Halimey percaya calon PAS tidak akan berjaya memperjuangkan sebarang isu dan tuntutan bagi penduduk di Seri Setia walaupun menang pada PRK itu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Halimey Abu Bakar memberi jaminan akan mengatasi isu perumahan penduduk di kawasan itu yang sehingga kini masih gagal diselesaikan.

Katanya ekoran kepadatan penduduk di kawasan Seri Setia, satu gesaan akan dibuat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik di kawasan DUN tersebut.

“Peningkatan kadar populasi di kawasan bandar banyak dipengaruhi oleh penghijrahan penduduk dari luar bandar.

“Akibatnya ia mencetuskan masalah serius apabila permintaan perumahan di kawasan bandar meningkat dengan mendadak.

“Walaupun terdapat kekangan utama dalam perkara ini, iaitu ketiadaan tapak untuk membangunkan perumahan mampu milik, namun saya percaya setiap masalah akan ada penyelesaiannya,” katanya dalam satu sidang media di bilik gerakan utama PH, hari ini.

Namun Halimey mengakui beliau masih dalam rangka mengenal pasti tapak berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan perumahan baru di Seri Setia pada ketika ini.

“Kita akan semak semula dan akan mengenal pasti tapak tersebut.

“Sasarannya adalah kawasan DUN Seri Setia tetapi kita boleh bekerjasama dengan tanah yang bukan milik kerajaaan, contoh syarikat yang membeli tanah itu tetapi masih belum dibangunkan apa-apa. Jadi kita boleh berbincang dengan syarikat tersebut, maksudnya pihak kerajaan akan berbincang,” katanya lagi.

Terdahulu calon PAS, Dr Halimah Ali turut membangkitkan isu perumahan di kawasan itu, terutamanya bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Lembah Subang.

Halimey menyatakan keyakinan beliau bahawa calon PAS tidak akan berjaya memperjuangkan sebarang isu dan tuntutan bagi penduduk di Seri Setia walaupun menang pada PRK itu nanti.

“Tiada apa-apa yang boleh beliau akukan.

“Suara pembangkang hanya 4 orang. Beliau tidak akan dapat apa-apa peruntukan yang boleh membantu rakyat di DUN Seri Setia sebab beliau adalah pembangkang di negeri Selangor dan juga kerajaan persekutuan,” katanya lagi.

Pada sidang media yang lepas, Halimey juga berkata pengundi tidak akan mendapat manfaat jika mereka memilih calon selain PH.

Ini kerana katanya bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang di Selangor sangat kecil, justeru suara mereka tidak akan diangkat sama sekali, lebih-lebih lagi kerajaan yang memerintah pada hari ini juga adalah kerajaan PH.

“Saya rasa tidak ada maknanya kalau kita kata suara dia akan diangkat, tidak ada makna langsung,” katanya sebelum ini.

PRK Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi kawasan itu yang mewakili PH, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu kerana kanser usus.

PRK itu diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong.

Selangor menyaksikan 3 PRK sejak pilihan raya umum Mei lepas dengan yang pertama di Sungai Kandis pada 4 Ogos.