Rotan pesalah syariah diluluskan Parlimen, kata peguam

Menurut Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan rotan yang digunakan hendaklah diperbuat daripada rotan atau ranting kecil tanpa ruas atau buku padanya dengan panjang rotan tidak lebih daripada 1.22 meter dan tebal tidak lebih 1.25 sentimeter. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pihak berkuasa agama negeri boleh mengenakan hukuman rotan ke atas wanita Isam atas kesalahan melanggar undang-undang jenayah Islam kerana ia diluluskan oleh Parlimen, kata peguam berikutan laporan 2 wanita di Terengganu dijatuhi hukuman rotan dalam sabitan kes hubungan seks sejenis pertama di negeri itu awal bulan ini.

Peguam berkata, Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) memberi kuasa kepada pihak berkuasa mengenakan hukuman penjara sehingga 3 tahun, 6 rotan dan denda RM5,000.

Ini berbeza dengan Seksyen 289 Kanun Acara Jenayah yang menaungi orang Islam dan bukan-Islam yang mengecualikan pesalah wanita daripada dirotan.

Ketika ditanya berhubung isu ini, peguam berkata cara hukuman rotan di bawah undang-undang Islam berbeza dengan hukuman rotan ke atas pesalah lelaki di bawah undang-undang sivil sekular.

Di bawah Kanun Acara Jenayah, pesalah dadah, penculik dan seumpamanya dirotan di punggung terdedah menggunakan rotan kasar yang mengoyakkan kulit dan boleh meninggalkan kesan parut kekal.

Bagaimanapun di bawah undang-undang Islam, pesalah dirotan di bahagian belakang badan menggunakan rotan kecil. Mereka juga lengkap berpakaian.

Peguam Farhan Haziq Mohamed berkata, tidak timbul isu wanita Islam didiskriminasi kerana Akta 355 digubal oleh perundangan persekutuan untuk digunakan di peringkat negeri.

Katanya menurut Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan rotan yang digunakan hendaklah diperbuat daripada rotan atau ranting kecil tanpa ruas atau buku padanya dengan panjang rotan tidak lebih daripada 1.22 meter dan tebal tidak melebihi 1.25 sentimeter.

Bagi pesalah yang mengandung, kata beliau, pelaksanaan hukuman akan ditangguhkan dan boleh dilaksanakan 2 bulan slepas bersalin.

“Saya percaya kaedah pelaksanaan hukuman rotan ini serupa di negeri lain,” katanya dan menambah undang-undang dan Mahkamah Syariah berada di bawah bidang kuasa negeri.

Awal bulan ini 2 wanita di Terengganu didapati salah cuba mengadakan hubungan seks lesbian. Mereka didakwa di bawah undang-undang syariah negeri dan dijatuhi hukuman 6 rotan dan denda RM3,300.

Hukuman itu pada mulanya dijadual dilaksanakan pada 28 Ogos lalu, tetapi ditangguhkan ke 3 September depan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu atas “sebab teknikal”.

Kes ini mendapat bantahan kumpulan hak awam yang menyifatkannya sebagai siksaan.

Peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman berkata, dalam Islam wanita diberikan layanan sama seperi orang lelaki dari segi ukuran hukuman.

“Hukuman rotan di bawah undang-undang syariah dijalankan dengan menggunakan rotan kecil, berbanding hukuman sama di bawah undang-undang kesiksaan yang bertujuan menyakitkan dan menyiksa,” katanya.

Seorang lagi peguam, Jahaberdeen Mohamed Yunos bersetuju dan berkata, hukuman di bawah undang-undang syariah bertujuan menimbulkan rasa sesalan, bukannya menyakitkan.

Katanya pemerintah negeri Terengganu boleh melepaskan pesalah daripada dirotan kerana Islam bersifat kasihan belas dan kasih sayang.

Pada 2010, seorang bekas model dan jururawat dijatuhi hukuman rotan kerana minum arak. Bagaimanapun hukuman ke atasnya diringankan oleh Sultan Pahang.

Kartika Sari Dewi Shukarno sebaliknya diarahkan menjalankan kerja kemasyarakatan selama 3 minggu.

Beliau pada asalnya dijatuhi hukuman 6 rotan dan denda RM5,000 kerana minum arak di sebuah pusat peranginan tepi pantai pada Disember 2007.