Tanya Pulau Ketam pernah PAS paksa cara hidup, kata Halimah

PETALING JAYA: Dr Halimah Ali menggesa pengkritik supaya bertanya kepada masyarakat bukan Islam di DUN Selat Klang pernahkah partinya memaksa mereka menukar cara hidup.

Calon PAS untuk pilihan raya kecil DUN Seri Setia itu berkata sepanjang 2 penggal dia menjadi Adun Selat Klang, partinya tidak pernah mengganggu bahasa, budaya dan agama penduduk bukan Melayu-Islam di situ.

“Boleh tanya pada kaum Cina di Pulau Ketam, ada tak saya memberi indikasi yang mereka perlu bertukar cara hidup,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Seri Setia hari ini.

“Saya bekerja untuk semua,” tambahnya.

Pulau tersebut merupakan penempatan lama masyarakat Cina, dengan penduduk seramai 2,000 pada 2016.

Halimah menegaskan PAS menentang ekstremisme agama dan kaum dan menolak dakwaan parti itu hanya mahu membantu orang Melayu dan penganut Islam sahaja.

“Selaku pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional atau Biro Solidariti PAS Selangor, kami memang merangka, merancang dan telah buat tindakan, aktiviti dan program bersama-sama pelbagai kaum…Cina, India dan Orang Asli,” katanya.

Halimah, yang juga bekas exco kerajaan negeri, akan berdepan calon Pakatan Harapan, Halimey Abu Bakar. Seri Setia akan mengundi 8 September ini.

Seri Setia mempunyai 53,492 pemilih berdaftar, dengan 54.13% atau 28,498 pengundi Melayu, 12,838 pengundi India dan 10,372 pengundi Cina. Bumiputera Sabah dan Sarawak yang mengundi di DUN itu seramai 438 orang dan 504 pengundi kaum lain-lain.