Bersih 2.0: Daftar parti politik patut bawah SPR, bukan JPPM

Shahrul Aman Mohd Saari berkata pentadbiran melibatkan pilihan raya seperti pendaftaran parti politik dan logo seharusnya disatukan di bawah SPR.

PETALING JAYA: Bersih 2.0 berkata pendaftaran parti politik sewajarnya berada di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bukannya di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, ini kerana parti politik bukan pertubuhan biasa dan meletakkannya di bawah SPR ia membolehkan suruhanjaya itu mengawal selia parti politik.

“Dan tak jadilah isu JPPM mengharapkan parti politik dan sebagainya, kita rasa memang sesuai di bawah SPR,” katanya ketika dihubungi FMT.

Pada 16 Ogos lalu, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem Dan Undang-Undang Pilihanraya (ERC) bagi mengkaji semula sistem dan undang-undang pilihan raya negara.

Semalam, Pengerusi ERC Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata ERC mempertimbangkan untuk menarik balik kuasa JPPM untuk mendaftarkan parti politik.

Abdul Rashid berkata, fungsi itu sepatutnya diberikan kepada SPR yang harus bertanggungjawab untuk mengawal selia parti politik.

Mengulas lanjut, Shahrul berkata pihaknya menyokong cadangan Abdul Rashid agar menarik balik kuasa JPPM untuk mendaftarkan parti politik dan cadangan itu juga pernah dimasukkan di dalam kertas kerja reformasi sistem pilihan raya pada 2014.

Shahrul berkata, pentadbiran melibatkan pilihan raya seperti pendaftaran parti politik dan logo seharusnya disatukan di bawah SPR.

“SPR menguruskan pilihan raya, patutnya dia (SPR) juga menguruskan semua badan-badan yang terlibat dalam pilihan raya, di bawah kawal selia dia.

“(Contohnya) sekarang ini untuk mendaftar pertubuhan dengan JPPM dan tiba-tiba logo pula dengan SPR,” katanya.

Beliau menambah, antara sebab lain urusan pilihan raya sepatutnya diserahkan kepada SPR adalah agar tidak ada kepentingan atau campurtangan daripada mana-mana pihak.

Shahrul berkata SPR kini di bawah Parlimen dan ia adalah antara agensi yang bebas.

Pada 1 Julai lalu, media melaporkan SPR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara adalah antara 9 agensi kerajaan yang menjadi badan bebas dan melapor langsung kepada Parlimen.