Di sebalik pantang larang dapur dan logiknya

Tahukah anda rakyat Malaysia mempunyai pelbagai pantang larang? Pantang larang ini bermula dari zaman nenek moyang dan masih diamal sehingga kini oleh sesetengah keluarga.

Pantang larang merupakan kepercayaan masyarakat Melayu zaman lampau berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang dengan kebanyakannya diturunkan secara lisan.

Tanpa membazirkan masa, kami senaraikan pantang larang yang sering diucapkan oleh nenek moyang serta ibu kita apabila berada di dapur atau yang berkaitan dengan makanan.

1. “Minum berdiri boleh buat perut kembung”

Situasi: Kami pasti anda semua pernah berbuat demikian. Ambil air dari petik sejuk dan terus meneguk air sambil berjalan atau berdiri. Ambillah kerusi dan duduk dahulu.

Logik: Orang – orang dahulu tidak membenarkan anda minum berdiri bukan kerana takutkan perut kembung tetapi lebih kepada tidak mahu anda mengotorkan sesuatu tempat apabila air tertumpah.

Hal ini kerana amat sukar untuk membersihkan tempat tumpahan air tersebut, lagi-lagi jika ianya air manis atau berwarna.

2. “Menyanyi semasa memasak nanti dapat suami tua”

Situasi: Kami merasakan perkara ini sering kali dibuat oleh semua orang yang pernah memasak, tengah-tengah bosan sambil menunggu kuah mendidih, jadi nyanyilah sebentar.

Walaupun pada zaman kini berkahwin dengan orang yang lebih berumur daripada kita bukanlah merupakan perkara yang pelik malahan perkara yang dihajati, namun pada masa dahulu ianya agak pelik.

Logik: Orang zaman dahulu melarang anda menyanyi bukan kerana perkara tersebut kerana mengikut logiknya perkara tersebut tidak akan berlaku, namun mereka melarang anda menyanyi kerana terdapat 3 perkara :

  • Suara anda tidak sedap dan tidak mahu menganggu ketenteraman jiran anda.
  • Tidak mahu air liur anda termasuk dalam masakan tersebut.
  • Tidak mahu masakan tersebut rosak kerana anda terlalu khayal menyanyi.

3. “Jangan makan waktu senja, nanti semangat padi akan hilang”

Situasi: Perkara ini sering berlaku pada zaman sekarang oleh mereka yang masih tinggal dengan keluarga. Waktu senja di sini ialah diantara jam 6.50 petang hingga ke 7.30 malam (Kiranya semasa waktu maghrib).

Logik: Pantang larang ini digunakan kepada mereka yang tinggal bersama keluarga. Pantang larang ini menghalang kita daripada makan pada waktu maghrib kerana waktu tersebut lebih afdal digunakan untuk mendirikan solat maghrib terlebih dahulu.

Patang larang ini turut mengajar kita, mendirikan solat patut diutamakan berbanding mengisi perut anda sahaja.

4. “Makan pedal ayam, akan mengantuk ketika bersanding”

Situasi: Siapa yang menggemari pedal ayam? Ye, Pedal ayam enak dimakan walaupun agak liat.

Logik: Sebenarnya pedal ayam ini tidak digalak untuk dimakan oleh orang-orang tua kerana dagingnya yang liat menyebabkan anda mengunyah secara berulang untuk menghancurkan dagingnya.

Kami tidak pasti mengapa ianya dikaitkan dengan bersanding tetapi kami menyimpulkan mungkin anak kepada individu yang mengeluarkan pantang larang ini mengantuk semasa majlis sanding beliau.

5. “Makan tak basuh pinggan, nanti lambat dapat pasangan”

Situasi: Perkara ini sering kali diaplikasi oleh kebanyakan kita di rumah. Jangan kerana ibu atau bapa yang masak, maka mereka juga yang harus membasuh pinggan mangkuk yang ditinggalkan dalam sinki.

Logik: Logik di sebalik pantang larang ini ialah agar mengajar anak-anak tidak malas membasuh pinggan. Anak-anak dimomok dengan pantang larang ini agar lebih rajin menolong ibu mereka mengemas serta membasuh pinggang selepas makan.

6. “Makan waktu Maghrib, makan bersama hantu”

Situasi: Situasi ini sama seperti pantang larang nombor 3 iaitu makan pada waktu maghrib.

Logik: Terdapat sebab yang amat ketara mengapa makan pada waktu maghrib dikaitkan seperti makan bersama hantu. Hal ini kerana waktu maghrib merupakan waktu dimana kita mengerjakan solat maghrib.

Selain itu, komuniti Melayu menghargai masa bersama keluarga dan mengesyorkan agar kita makan bersama keluarga kita. Oleh demikian, pantang larang ini diujarkan kepada mereka agar mengerjakan solat terlebih dahulu dan makan bersama keluarga agar silaturrahim dapat dieratkan.

7. “Makan sisa anak, anak akan degil”

Situasi: Kami pasti terdapat ibubapa yang sayang terhadap makanan yang tidak habis sehinggakan sanggup menghabiskan sisa makanan anak. Hal ini sering berlaku kerana makanan pada masa kini bukan murah dan kita haruslah berjimat-cermat

Logik: Pantang larang ini tidaklah mempunyai kaitan yang terus dengan kanak-kanak pada masa terdekat namun begitu lebih kepada perkara yang dijangka akan berlaku pada masa yang akan datang.

Jika anak tidak dinasihatkan agar menghabiskan makanan di pinggan mereka, mereka akan membazir dan sikap pembaziran sukar untuk dibendung apabila mereka menjadi dewasa.

8. “Bila makan, pinggan tak boleh diletak atas riba, nanti suami diambil orang”

Situasi: Keadaan ini sering kali anda lihat apabila anda makan secara bersila. Makan secara bersila merupakan salah satu adat yang dipraktikan oleh rakyat Malaysia di bahagian kampung dan malahan ianya juga dipraktikan oleh mereka yang duduk di bandar kerana nikmat menjamah makanan lain dari yang lain.

Logik: Pantang larang ini tidak mempunyai kesan yang dahsyat seperti yang dikatakan tetapi lebih kepada langkah berhati-hati.

Pinggan yang diletak di atas riba boleh menyebabkan pinggan tersebut terjatuh ke atas lantai dan menyebabkan pembaziran makanan.

Ianya juga dikaitkan dengan “suami” kerana kebanyakan mereka yang gemar meletakkan pinggan di atas riba merupakan kaum wanita berbanding lelaki.

9. “Jangan makan nasi di senduk, nanti payah dapat rezeki”

Situasi: Hal ini sering kali berlaku tatkala anda sedang lapar kebuluran dan tidak lagi sanggup menunggu walaupun sesaat untuk menikmati juadah di hadapan anda. Terdapat orang yang tidak lagi sanggup menunggu dan terus makan nasi di senduk tersebut.

Logik: Pantang larang ini berhubung kait dengan perkara yang berlaku selepas itu. Jikalau anda mengambil nasi di senduk, anda bukan sahaja mengakibatkan orang lain tidak dapat mengambil nasi tersebut malahan nasi tersebut dibazirkan apabila orang lain tidak selesa mengambilnnya.

Maka janganlah anda makan nasi di senduk kerana ia bukan sahaja akan membantutkan rezeki orang lain malahan anda akan rugi kerana terpaksa masak nasi yang baru tidak tercemar dengan air liur anda itu.

10. “Jangan makan leher ayam nanti bersanding kepala teleng”

Situasi: Pernahkah anda melihat leher ayam? Leher ayam ini merupakan salah satu bahagian yang digemari orang ramai dan terdapat pepatah yang mengatakan jika makan leher ayam kepada kita akan teleng nanti.

Logik: Logik bagi pantang larang ini ialah ia mahu mengelak kita berebut. Leher ayam bagi orang dahulu merupakan salah satu bahagian kegemaran ramai kerana ia penuh dengan rasa.

Orang dahulu berkata sedemikian kerana mereka tidak mahukan orang bergaduh kerana leher ayam yang hanya satu bagi seekor. Mereka tidak mahu anak-anak bergaduh hingga kepala teleng kerana disebabkan leher ayam tersebut.

11. “Jangan biarkan pinggan kering selepas makan, nanti boleh jadi papa kedana”

Situasi: Ini masih diamal pada zaman ini. Selepas melicinkan pinggan, kita pula berbual dengan rakan mahupun keluarga sehingga pinggan menjadi kering.

Logik: Sebenarnya orang dahulu menghalang kita daripada membiarkan pinggan menjadi kering kerana tidak mahu proses membasuh menjadi sukar.

Ia tidak ada kaitkan yang rapat hingga menjadi papa kedana tetapi lebih kepada ingin mengingatkan kepayahan yang akan dilalui jika anda membiarkan sisa makanan menjadi kering.

12. Tak boleh duduk atas lesung, nanti dubur berkudis”

Situasi: Pernahkah anda duduk atas lesung? Tempat yang digunakan untuk menumbuk segala bahan masakan seperti bawang, cili, rempah ratus dan sebagainya?

Logik: Orang dahulu melarang anda berbuat demikian kerana satu perkara yang amat logik. Lesung digunakan untuk menumbuk segala bahan makanan termasuk cili, kenapa pula anda mahu duduk di atasnya? Silap harim terbakar punggung kerana kepedihan cili.

Selain itu, ia bukan suatu perkara yang baik kerana terdapat kerusi di dapur duduklah di atas kerusi bukan mencangkung atas lengsung.

Maka itulah antara pantang larang yang diujarkan secara lisan sejak turun temurun. Terdapat beberapa pantang larang yang mungkin langsung tidak logik namun kami percaya ia mempunyai sebabnya yang tersendiri.

Ikutilah pantang larang selagi ia tidak membinasakan diri memandangkan ia merupakan salah satu perkara yang unik dan seharusnya diberitahu hingga ke anak cucu.

Artikel ini diterbitkan dalam http://www.butterkicap.com/author/butterkicap-team/page/21