Hasanah mohon isytihar soal siasat SPRM menyalahi undang-undang

KUALA LUMPUR: Peguam kepada bekas ketua perisikan Datuk Hasanah Ab Hamid berkata anak guamnya dihalang berunding dengan peguam dan memohon mahkamah mengisytiharkan penahanan dan soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyalahi undang-undang.

Datuk Shaharudin Ali dalam kenyataan media hari ini mengesahkan mereka membuat permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya Seksyen 28A(8) dan (9) Kanun Tatacara Jenayah ke atas bekas ketua pengarah Organisasi Risikan Luar Malaysia (MEIO) melampaui Perlembagaan Persekutuan.

Penghujahan lisan dijangka berlaku Isnin ini.

Hasanah mahu mahkamah mengisytiharkan soal siasat SPRM mencabuli undang-undang memandangkan seksyen itu melanggar perlembagaan.

Shaharudin berkata Seksyen 28A(8) dan (9) menghalang Hasanah berunding dengan para peguamnya semasa dalam tempoh reman.

“Ini bermakna selama 5 hari dia disoal siasat, peguamnya tidak berada di situ untuk menasihat atau dirunding.

“Keesokan harinya, iaitu hri ini, kita mendapati SPRM mengeluarkan banyak kenyataan yang mendatangkan kesan buruk pada anak guam kami. Beberapa kenyataan itu dilaporkan media.

“Walaupun SPRM bebas mengeluarkan kenyataan-kenyataan menjejaskan mengenai Hasanah, kami tidak dibenarkan membantunya atau mendapatkan arahan dan bertindak balas sewajarnya. Mana perginya kedaulatan undang-undang.”

Seksyen 28A(8) dan (9) Kanun Tatacara Jenayah menyatakan pihak berkuasa boleh menghalang seseorang jika ia antara lain mengesyaki ia akan menyebabkan seorang rakan subahat melepaskan diri, atau seorang saksi ditakut-takuti atau bukti disembunyikan, dipalsukan atau dihapuskan.

Hasanah ditahan pada Selasa, dilaporkan berkaitan dakwaan menggelapkan dana kerajaan bagi peruntukan pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Seorang timbalan ketua pengarah dan 6 pegawai tadbir dan diplomatik di Jabatan Perdana Menteri juga direman selama 5 hari dalam siasatan itu.

Semalam, pihak berkuasa menyerbu satu pangsapuri di Cyberjaya dan merampas wang serta barangan lain bernilai AS$6.3 juta, disyaki berkaitan kes salahguna kuasa Hasanah.

Bekas ketua perisikan itu menerjah ke muka depan akhbar kerana kontroversi suratnya kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum pilihan raya umum lepas untuk meminta Washington menyokong kerajaan Barisan Nasional.