Jual pegangan GLC: Jangan ulangi kesilapan 1990-an, kata pakar

Pakar ekonomi Edmund Terence Gomez berkata kerajaan mesti cermat apabila melepaskan pegangan dalam bank atau syarikat ulititi serta pengangkutan.

PETALING JAYA: Seorang ahli ekonomi menggesa kerajaan melakukan penyelidikan, ketelusan dan keterbukaan secukupnya berhubung rancangan melepaskan pegangan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan langkah itu tidak berakhir dengan bencana.

Memberi respons kepada laporan bahawa kerajaan mungkin akan melepaskan pegangannya dalam syarikat tertentu, Dr Edmund Terence Gomez dari Universiti Malaya berkata, kerajaan tidak harus melepaskan pegangan dalam sesetengah sektor, sementara dalam sektor lain tiada masalah.

“Dalam sektor perbankan, saya akan sangat berhati-hati jika mahu melepaskan bank besar seperti Maybank dan CIMB ke tangan swasta,” katanya, dan menambah begitu juga dengan syarikat utiliti dan pengangkutan.

“Saya tiada masalah sekiranya kerajaan mahu melepaskan pegangannya dalam syarikat berkaitan pembinaan,” katanya.

Gomez, yang merupakan pakar bidang korporat dan politik Malaysia berkata, sebelum melepaskan pegangannya, terutama dalam institusi besar, kerajaan mesti menjalankan analisis bagi mengelakkan penompokkan kekayaan ke tangan sekumpulan kecil minoriti.

“Siapakah pelabur persendirian yang akan membeli pegangan itu? Jika kita bercakap tentang pelanjutan dasar Bumiputera, maka siapakah mereka? Sepatutnya ia dibuat secara tender terbuka.”

Katanya persoalan besar berhubung langkah pelepasan pegangan kerajaan ini termasuklah persoalan sama ada pihak yang mengambil alih mempunyai kebolehan dan pembiayaan bagi memastikan kemajuan syarikat dan juga sumber dana mereka.

Gomez mengingatkan, sekiranya usaha wajar tidak dilaksanakan, negara akan menyaksikan pengagihan selektif aset dibuat tanpa ketelusan.

“Kita pernah melihat penaungan selektif bagi memenuhi agenda Bumiputera. Tiada masalah di situ, tetapi dalam proses itu, sekiranya tiada ketelusan dan keterbukaan, ia akan dinikmati oleh kelompok yang rapat dengan kuasa dan mendapat pembiayaan daripada bank milik kerajaan.”

Akhirnya kata Gomez, sebilangan syarikat itu gagal dan kerajaan perlu memiliknegarakannya semula.

“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan pada 1990-an dahulu,” kata Gomez yang merujuk kepada langkah penyelamatan syarikat seperti MAS, UEM dan Renong.

Memetik sumber, Reuters baru-baru ini melaporkan syarikat dana negara, Khazanah Nasional berkemungkinan besar akan melepaskan pegangannya dalam firma besar berkaitan kerajaan seperti CIMB, Kumpulan Axiata, Telekom Malaysia, malah IHH Healthcare.

Gomez juga menyebut tentang keperluan kerajaan mendedahkan angka ekuiti Bumiputera, amalan yang menurutnya dihentikan lebih 10 tahun lepas, terutamanya sewaktu Putrajaya sedang bersiap-siap untuk menganjurkan kongres ekonomi Bumiputera minggu ini.

“Kita perlu melihat angka tersebut dan mengkaji apakah yang silap atau betul sebelum kita membahaskan langkah maju yang perlu diambil,” katanya selepas melancarkan laporan Malaysia GLC Monitor 2018 di Universiti Malaya Isnin lepas.

Gomez berkata, angka ekuiti Bumiputera perlu dijadualkan semula, bukan pada nilai tara tetapi berdasarkan nilai pasaran.