Kerajaan baru tapi cerita lama buat keluarga mangsa culik

Isteri pastor Raymod Koh, Susanna Liew berkata beliau kecewa kerana kerajaan baru tidak menghubunginya walaupun selepas 100 hari mengambil alih Putrajaya.

KUALA LUMPUR: Telah hampir 4 bulan sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan persekutuan, tetapi bagi Susanna Liew yang kehilangan suami sejak Februari tahun lepas, tidak banyak yang berubah.

Liew berharap dengan bertukarnya kerajaan, pentadbiran baru akan dapat menjejak keberadaannya suaminya, pastor Raymond Koh.

Malangnya kata beliau, keluarganya hanya mampu berharap tanpa berita sehingga kini.

“Saya sangat kecewa. Sehingga kini mereka tidak mengemaskini kami dengan apa-apa makluman walaupun selepas 100 hari berkuasa,” katanya selepas menghadiri sebuah persidangan serantau mengenai kehilangan dipaksa Selasa lepas.

“Kami memohon untuk bertemu perdana menteri tetapi sehingga kini tidak ada apa-apa respons.”

Liew, yang sebak, berkata, telah lebih setahun suaminya diculik.

“Saya tak tau hendak buat apa lagi kerana telah cuba merayu kepada pihak yang paling tinggi.”

Koh diculik pada siang hari 13 Feb tahun lepas. Penculikan itu dirakam CCTV yang menunjukkan beberapa lelaki bertopeng dalam kenderaan SUV berwarna hitam menghalang keretanya. Beliau tidak ditemui lagi selepas itu.

Lebih setahun kemudian, rakaman CCTV itu masih jelas dalam ingatan Liew. Beliau kini menggesa kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas secepat mungkin.

Tanpa kewujudan badan penyiasat sedemikian beliau berkata, kerajaan mesti meneliti perkara itu kerana keluarga mangsa telah lama menderita.

“Tidak mengetahui di mana keberadaan orang yang dikasihi sangat memedihkankan,” katanya.

Anak aktivis masyarakat dari Perlis, Amri Che Mat, yang juga hilang lebih setahun lepas, kini hampir kehilangan harapan.

Nur Massara (tudung biru), anak aktivis yang diculik, Amri Che Mat, berharap polis lebih bekerjasama dalam membantu mencari bapanya.

Anak sulung Amri, Nur Massara berkata, beliau kecewa kerana selama ini mereka sendiri yang membuat penyiasatan untuk mengetahui apakah yang berlaku kepada bapa mereka.

“Kami buat semua kerja itu. Kami sendiri yang cari maklumat,” kata gadis 20 tahun itu.

“Polis tidak banyak membantu. Mereka seperti tidak berminat untuk menolong kami. Kami minta pertolongan mereka, tetapi tiada tindakan diambil.

“Kami berterima kasih kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kerana mengadakan inkuiri ke atas kehilangan bapa kami,” katanya.

Seperti Liew, Massara berkata, pertukaran kerajaan tidak tergambar dalam kehidupan mereka sekeluarga. Bagaimanapun beliau masih menaruh harapan bapanya akan kembali segera.

“Kami masih berharap bapa akan pulang,” katanya. “Saya berharap kerajaan baru mendengar rayuan kami supaya menyiasat perkara ini dengan lebih mendalam.”

Amri yang merupakan pengasas bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bernama Perlis Hope hilang sejak 24 Nov 2016. Isteri beliau berkata, 5 buah kenderaan menghalang keretanya sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 500 meter dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.