Najib tinggalkan Menara 238 selepas lebih 3 jam beri keterangan

Najib hadir buat kali kedua untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan pengubahan wang haram.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan Menara 238, Jalan Tun Razak selepas lebih 3 jam memberi keterangan kepada pihak polis berhubung dakwaan pengubahan wang.

Beliau dipercayai keluar kira-kira jam 1.20 petang menaiki kenderaan jenis Audi ditemani peguamnya, Tan Sri Shafee Abdullah dan pegawai melalui pintu belakang.

Perkara itu turut disahkan seorang sumber kepada media yang menunggu di pekarangan bangunan.

Terdahulu Najib hadir buat kali kedua memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pengubahan wang haram.

Bekas perdana menteri itu tiba kira-kira jam 10 pagi menaiki kenderaan Hyundai Santa Fe.

Difahamkan, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla), Urus Setia Ketua Polis Negara Bukit Aman merakam keterangan Ahli Parlimen Pekan itu.

Keterangan itu dipercayai bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla).

Sumber yang dekat dengan Najib memberitahu FMT, Isnin lepas polis mengambil keterangan bekas prdana menteri itu berhubung sejumlah transaksi kewangan yang berlaku seawal 2011 dan dipercayai melibatkan penganjuran program oleh Umno Pekan.

Menurut sumber transaksi itu berkaitan beberapa pembayaran termasuk kos katering, khemah dan hadiah cenderahati lain.

Pada 8 Ogos lalu, Najib didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, pertuduhan itu berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.

Pada 4 Julai, Najib mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu dakwaan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International bernilai RM42 juta.