SPRM rampas AS$6.3 juta dalam siasatan terhadap ketua perisik

Gambar Bernama.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas AS$6.3 juta dalam siasatan terhadap bekas ketua pengarah Organisasi Risikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Timbalan Pesuruhjaya Datuk Seri Azam Baki berkata wang sebanyak AS$4.7 juta serta barangan lain, yang membawa jumlah keseluruhan sebanyak AS$6.3 juta, dirampas di sebuah pangsapuri di Cyberjaya semalam dan disyaki berkaitan kes salahguna kuasa Hasanah.

Bekas ketua perisikan itu menerjah ke muka depan akhbar kerana kontroversi suratnya kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum pilihan raya umum lepas untuk meminta Washington menyokong kerajaan Barisan Nasional.

Azam juga mengumumkan seorang suspek ditahan semalam dalam siasatan kes yang sama.

“Seorang ahli perniagaan berumur 47 tahun ditahan di Kelantan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas di ibu pejabat SPRM hari ini.

Turut dirampas 4 utas jam tangan Rolex, wang tunai RM950 ribu dan komputer riba MacPro.

Terdahulu, Hasanah direman 5 hari dalam siasatan terhadap kes penyelewengan dana PRU14. Berdasarkan siasatan awal bekas ketua perisikan itu dipercayai terbabit menyalahgunakan dana PRU14 untuk tujuan peribadi, bersama 7 pegawai lain di Jabatan Perdana Menteri.

Seorang timbalan ketua pengarah dan 6 pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) direman 5 hari bermula semalam dalam siasatan kes yang sama.