CEO Prasarana ditamatkan kontrak serta merta

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia, Masnizam Hisham. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Putrajaya menamatkan kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia, Masnizam Hisham.

FMT difahamkan Kementerian Kewangan yang memiliki Prasarana, memberitahu Masnizam kontraknys berakhir serta merta.

Dalam mesej perpisahannya kepada kakitangan syarikat pengangkutan awam itu, Masnizam berkata hari terakhir perkhidmatannya ialah pada 3 September, Isnin ini.

Dalam suratnya, Masznizam yang berkhidmat dengan syarikat itu lebih sedekad sebelum dilantik sebagai CEO pada Januari lalu, berkata beliau mengambil alih jawatan itu ketika peningkatan kos dalam beberapa projek dijalankan Prasarana, termasuk LRT3 yang menghubungkan Petaling Jaya dan Klang.

“Sekiranya kita tegas dalam penjagaan kos, mungkin kita tidak akan berada dalam keadaan kewangan yang meruncing seperti hari ini,” katanya.

Difahamkan penamatan Masnizam dibuat di sebalik bantahan Prasarana terhadap keputusan Kementerian Kewangan mengekalkan MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCB-GK) sebagai kontraktor utama untuk projek LRT3.

Menurut sumber, ahli lembaga pengarah syarikat itu merasakan projek LRT3 dapat menjimatkan berbilion kos jika MRCB-GK dikeluarkan sebagai rakan kongsi projek (PDP).