EU beri amaran persempadanan semula Serbia-Kosovo berbahaya

VIENNA: Jerman hari ini memberi amaran persempadanan semula sempadan Serbia-Kosovo akan memburukkan ketegangan etnik, manakala negara-negara Kesatuan Eopah (EU) yang mahukan keamanan di rantau Balkan menolak pertukaran tanah sebagai terlalu berbahaya.

Belgrade dan Pristina menimbulkan idea persempadanan semula bulan ini.

Ahli politik dan penganalisis di Belgrade berkata satu perjanjian yang membolehkan Serbia mengekalkan kawalan ke atas Kosovo utara, sebagai ganti kepada Lembah Presevo, satu kawasan yang didiami etnik Albania di selatan Serbia, boleh diterima kedua-dua belah pihak.

Menteri Luar Jerman Heiko Mas di pertemuan antara menteri-menteri luar EU dan rakan sejawat dari Balkan berkata, perbincangan mengenai pertukaran wilayah itu berdasarkan perkiraan yang salah.

“Kami percaya langkah ini akan menyebabkan luka lama berdarah kembali dan kami sangat skeptikal,” kata Maas kepada pemberita.

Jean Asselborg dari Luxembourg bimbang “akibat yang sangat negatif” dan Timo Soini dari Finland berkata ia sangat berisiko.

British juga memberi amaran pertukaran tanah boleh menggugat kestabilan, tetapi Timbalan Perdana Menteri Serbia, Ivica Dacic di Vienna, Austria berkata dia mahu mencari satu penyelesaian yang aman dengan Pristina, tanpa memberikan perincian.

Presiden Kosovo, Hashim Thaci memberitahu Reuters pada 14 Ogos lepas dia akan membentangkan rancangannya kepada Presiden Serbia Aleksandar Vucic di dialog anjuran EU September ini di Brussels, Belgium.

Menormalkan hubungan dua hala menjadi syarat utama kepada Serbia dan Kosovo yang mahu menyertai EU. Pada 2013 mereka bersetuju untuk menyelesaikan semua isu tertunggak tetapi belum ada kemajuan besar.

Kosovo, dengan penduduk 1.8 juta yang kebanyakannya etnik Albania, mengisytiharkan kemerdekaan daripada Belgrade pada 2008, hampir sedekad selepas pengeboman udara NATO mengusir tentera Serbia dan menghentikan pembanterasan etnik Albania.