Kami akan tegur bila kamu buat salah, Marina beritahu PH

KUALA LUMPUR: Aktivis masyarakat Datin Paduka Marina Mahathir berkata beliau sudah tentu akan menegur Pakatan Harapan (PH) sekiranya gabungan itu melakukan kesalahan.

Marina menjelaskan antara peranan kumpulan aktivis adalah memantau parti politik dan kerajaan kerana mereka mahukan kebertanggungjawaban.

“Saya hanya boleh bercakap bagi pihak kumpulan-kumpulan wanita lain. Kami mahu kerajaan ini berjaya kerana kita sudah berusaha keras untuk menukar kerajaan jadi kami harap teguran daripada kami diterima dengan baik,” katanya ketika ditemui di majlis sambutan “Harapan Malaysia Baru” sempena hari kebangsaan di Bukit Damansara hari ini.

Beliau mengulas seruan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad kepada gabungan itu agar bersikap terbuka menerima kritikan lantaran kesukaran menunaikan janji-janji manifesto pilihan rayanya.

Dr Mahathir berkata banyak perkara yang dijanjikan dalam manifesto itu kerana beranggapan Barisan Nasional tidak akan tumbang, dan gabungan itu kini menghadapi kesukaran melaksanakannya kerana tiada pengalaman mentadbir negara.

Marina sambil tertawa berkata kumpulan aktivis nampaknya tidak teragak-agak untuk membidas PH dan para menteri.

“Kami sangat lantang kerana kami mahu kerajaan ini berjaya,” katanya, yang juga anak kepada Dr Mahathir.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata beberapa janji daripada manifesto dapat ditunaikan dan PH akan memastikan janji-janji pilihan raya lain dilaksanakan. Antara 10 janji 100 hari PH ialah menghapuskan hutang peneroka Felda, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah, menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.