KKM serbu premis Bangladesh jual hampir 300 jenis ubat tak berdaftar

KKM menasihatkan orang ramai memastikan produk yang dibeli mematuhi keperluan undang-undang dan berdaftar dengan KKM. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas 280 jenis ubat tidak berdaftar dianggarkan bernilai RM200,000 daripada premis yang dikendalikan warga Bangladesh di Jalan Tun Tan Siew Sin.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata, ubat-ubatan itu yang dirampas dalam serbuan pada Rabu disyaki mempunyai racun berjadual seperti ubat antibiotik (Cefuroxime), ubat tahan sakit (injeksi Tramadol) dan ubat penenang (injeksi Diazepam).

Beliau berkata serbuan dilakukan susulan pendedahan oleh sebuah akhbar harian berbahasa Malaysia pada 23 Ogos lalu mengenai sindiket penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar didalangi warga Bangladesh di Jalan Tun Tan Siew Sin.

Siasatan awal KKM mendapati wujudnya 10 premis disyaki digunakan untuk menjual ubat-ubatan tidak berdaftar kepada warga asing di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin di mana di premis berkenaan pernah diserbu pada 2016 dan 2017, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya di bawah Pelan Strategik Program Farmasi 2017-2020, Jalan Tun Tan Siew Sin yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Silang merupakan 1 daripada 80 kawasan panas yang didapati menjual produk ubat tidak berdaftar dan pihak kementerian menyasarkan untuk membanteras kegiatan itu menjelang 2020.

Noor Hisham berkata pihak kementerian turut giat menjalankan pemantauan secara berterusan dengan kerjasama Kastam Diraja Malaysia bagi membanteras penjualan produk tidak berdaftar terutamanya ubat-ubatan.

Individu yang didapati bersalah menjual ubat tidak berdaftar boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun bagi kesalahan berikutnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan produk yang dibeli mematuhi keperluan undang-undang dan berdaftar dengan KKM.

Orang ramai boleh mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat mengenai produk yang meragukan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM di http://www.pharmacy.gov.my, ataupun kepada Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my atau di talian 03-78413200.