MCA guna logo sendiri di Balakong kerana malu dengan BN, kata Gobind

Gobind Singh Deo turut menyeru pengundi di DUN Balakong supaya melontarkan persoalan mengenai 1MDB kepada MCA dan calonnya, Tan Chee Teong.

KUALA LUMPUR: MCA perlu menjelaskan kepada rakyat kenapa ia tidak mempertahankan hak rakyat walaupun pelbagai penyalahgunaan kuasa dan penyelewangan wang dilakukan oleh kerajaan terdahulu yang dianggotainya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata MCA bukan sahaja membisu dalam hal seperti skandal 1MDB), malah mencemuh Pakatan Harapan (PH) bermain politik apabila membongkarkan isu penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara tersebut.

“Dia bertahun-tahun di situ, dia tahu apa yang berlaku. Tapi masih menyeru supaya rakyat menyokongnya dan mempercayainya untuk menjaga rakyat.

“Ini satu perkara yang serius. Bolehkah kita mempercayai mereka? ” katanya pada ceramah PH sempena pilihan raya kecil (PRK) DUN Balakong, di Serdang, malam tadi.

Gobind turut meminta kira-kira 300 hadirin di ceramah tersebut supaya melontarkan persoalan itu kepada MCA dan calonnya, Tan Chee Teong.

Beliau berkata tindakan MCA untuk bertanding atas benderanya sendiri kali ini juga menunjukkan parti itu kini malu untuk dikaitkan dengan Barisan Nasional (BN) dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sampai hari ini dia tak berani bawa bendera Dacing (lambang BN). Kenapa takut, kenapa sekarang mahu pakai bendera sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Gobind Singh juga menyeru penggundi Balakong supaya lihat ke depan dan terus mengundi PH pada PKR DUN Balakong 8 September ini.

Rakyat Malaysia, khususnya, pengundi di Balakong mesti memastikan negara tidak kembali ke era BN, katanya.

PRK DUN Balakong akan menyaksikan pertandingan 1 lawan 1 antara Tan dengan calon PH, Wong Siew Ki.