Jangan salahkan orang lain jika BN persoal janji, kata Dr M

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru gabungan itu terbuka menerima kritikan Barisan Nasional (BN) tentang pelaksanaan janji manifesto pilihan raya.

Beliau berkata banyak perkara yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 kerana beranggapan BN tidak akan tumbang, dan gabungan itu kini menghadapi kesukaran kerana tiada pengalaman mentadbir negara.

“Kita lambat sebab kita tidak gunakan manifesto itu untuk menjadi kerajaan. PH tidak boleh salahkan jika manifesto yang dijanjikan ini dikaji dan diteliti BN,” katanya ketika berucap di majlis sambutan ‘Harapan Malaysia Baru’ sempena Hari Kemerdekaan di Bukit Damansara hari ini.

Dr Mahathir berkata beberapa janji daripada manifesto itu dapat ditunaikan dan PH akan memastikan janji-janji pilihan raya lain dilaksanakan.

Antara 10 janji 100 hari PH ialah menghapuskan hutang peneroka Felda, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah, menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.

“Rakyat buat keputusan untuk ubah kerajaan. Kita telah lakukannya. Tetapi sekarang kita dapati itu adalah bahagian yang mudah,” katanya.

Sebelum ini beberapa pimpinan BN mempertikaikan beberapa manifesto PH yang masih belum dilaksanakan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata memadai 2/3 daripada manifesto itu ditunaikan jika ia tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Beliau menambah rakyat semestinya berhak menuntut yang terbaik daripada tawaran PH.