Polis: 11 ditangkap jabatan agama Kelantan dalam serbuan Syiah

PETALING JAYA: Polis mengesahkan 11 orang ditangkap dalam serbuan ke atas satu premis yang digunakan untuk aktiviti yang dipercayai perjumpaan pengikut ajaran Syiah semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata mereka ditangkap semasa penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) membuat pemeriksaan di satu premis di Kota Bharu antara 10.30 malam hingga 11.30 malam.

“JHEAIK bertindak membawa 11 orang pengikut ajaran Syiah ke pejabat JHEAIK untuk proses dokumentasi,” katanya.

Hasanuddin berkata seramai 50 orang, termasuk 3 orang kanak-kanak dan 21 wanita, berada dalam premis itu semasa pemeriksaan pihak berkuasa agama.

“Semasa serbuan dan pemeriksaan dijalankan, tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Polis berkata JHEAIK turut membuat rampasan buku, perhiasan bertulis kalimah Allah dan Muhammad, serta “batu Karbala sebanyak 69 biji”.

Pihak berkuasa Islam di Malaysia menganggap Syiah, fahaman yang terkenal dalam kalangan umat Islam di beberapa negara Timur Tengah, sebagai “menyimpang”, dengan khutbah Jumaat sering memberi amaran kepada umat Islam negara ini menolak ajaran tersebut.

Fatwa 1996 oleh Majlis Fatwa Kebangsaan melarang ajaran Syiah. Sejak itu, perjumpaan pengikut Syiah sering diserbu dan ditangkap, di mana pengikutnya didakwa dengan kesalahan jenayah di bawah undang-undang syariah.

Semalam, seorang pengikut Syiah yang enggan dikenali mempersoalkan masa serbuan itu, mengatakan ia berlaku hanya sehari selepas kuliah di Kota Bharu oleh mufti dari negeri jiran.

Beliau menyifatkan mufti itu sebagai “anti-Syiah” dan mempersoalkan pihak berkuasa Kelantan kerana menggalakkan umat Islam mengambil tindakan terhadap individu yang menolak ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Ia hanya akan menggalakkan ketidaktoleransi antara umat Islam,” katanya.