PPBM ada 19,868 ahli tidak berdaftar di Sarawak

Affendi Jeman (tengah). (Gambar Bernama)

KUCHING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) setakat semalam mengumpul 19,868 borang permohonan daripada mereka yang berminat di semua 31 bahagian Parlimen Sarawak, kata jurucakap Affendi Jeman.

Beliau berkata meskipun penyertaan itu belum diproses namun semangat ditunjukkan ketika ini memperlihatkan mereka mahu bersama PPBM sebagai tanda sokongan rakyat Sarawak terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Keyakinan kami berpadukan majoriti rakyat Sarawak yang mahu melihat perubahan landskap politik negeri dan PPBM adalah platform tepat untuk melakukannya. Sebagai tanda terima kasih kepada Dr Mahathir, pemimpin yang peduli rakyat dan bersedia menerima rintihan serta gesaan rakyat, kami akan menggandakan usaha mencapai sasaran 50,000 ahli pada penghujung tahun ini,” katanya.

Ketua cawangan PPBM Petra Jaya omo ditemui pada sidang media Penubuhan Jawatankuasa Portem 31 Bahagian PPBM Sarawak hari ini.

Beliau berkata sebelum Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) yang dijangka berlangsung pada 2021, PPBM Sarawak turut menyasarkan penyertaan keahlian lebih daripada 200,000.

Kali terakhir PRN Sarawak adalah pada 2016, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) Sarawak menang 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. BN Sarawak kini dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Adalah menjadi harapan kami agar Dr Mahathir tidak menghampakan rakyat Sarawak yang tegas untuk bersama PPBM. Menjelang hujung tahun ini juga, beliau boleh melancarkan parti PPBM di Sarawak sebelum berakhirnya tempoh pembubaran Dewan Undangan Negeri kelak,” katanya.

Menurut laporan akhbar Utusan Borneo pada 7 Julai lepas, Ketua Penaja PPBM Sarawak Shariff Busrah mendakwa PPBM Sarawak mempunyai 3,777 anggota berdaftar di Kuching.