PPBM jamin khidmat guru agama tidak akan ditamatkan

PASIR PUTEH: Perkhidmatan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) tidak akan ditamatkan kerana mereka penting untuk memberikan pendidikan agama Islam kepada pelajar sekolah rendah, kata Ketua Penerangan PPBM Datuk Kamaruddin Mohd Noor.

Beliau berkata partinya akan mempertahankan jika ada mana-mana pihak yang cuba untuk menamatkan perkhidmatan mereka.

“Khidmat mereka penting untuk memberikan pendidikan agama peringkat awal kepada murid-murid sekolah rendah termasuk untuk mengenali bacaan Al-Quran,” katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra dengan lebih 300 guru KAFA hari ini.

Kamaruddin berkata dakwaan sesetengah pihak mengatakan perkhidmatan guru KAFA akan ditamatkan oleh kerajaan Pakatan Harapan hanya andaian bagi memburukkan kerajaan persekutuan.

Bagaimana pun beliau berkata prestasi perkhidmatan setiap guru KAFA akan dinilai bagi membolehkan kontrak perkhidmatan mereka disambung.