Tak salah lantik orang Sarawak jadi presiden Sandakan, kata Warisan

KOTA KINABALU: Pelantikan Hii Chang Lik sebagai presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengundang kritikan tetapi ramai terlupa rakyat Sarawak itu pernah menjadi ahli majlis perbandaran selama beberapa penggal semasa pentadbiran Barisan Nasional, kata seorang pemimpin Parti Warisan Sabah.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah George Hiew berkata ketika itu tiada pun orang mengadu tentang Hii atau statusnya.

“Tidak ada pun aduan semasa dia menjadi ahli majlis. Hii dilahirkan di Sarawak tetapi sudah lebih 50 tahun menetap di Sabah.

“Kami mahu sebuah Sandakan di mana rakyat hidup harmoni dan berasa selamat. Di mana ekonomi berkembang maju dan kami semua bangga ada pekan yang indah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelantikan Hii mengetuai MPS tidak patut digunakan untuk menyerang kerajaan pimpinan Warisan tetapi dilihat sebagai pelantikan berdasarkan merit.

Beliau memberi jaminan kerajaan negeri sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat Sabah dalam dasar-dasarnya, dan kerajaan negeri tidak menentang sumbangan rakyat bukan Sabah kepada pembangunan negeri.

“Marilah kita jadi lebih inklusif. Lagipun kita semua rakyat Malaysia. Kita mahu jadikan Sabah dan Malaysia gemilang,” katanya.

Sementara itu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Junz Wong berkata kerajaan Sabah Baharu mengutamakan kepentingan rakyat Sabah tetapi tidak menolak sumbangan rakyat bukan Sabah warga Malaysia.

“Mereka yang tidak lahir di Sabah tetapi sudah lama menetap di Sabah dan berkebolehan akan diberi peluang menyumbang kepada negeri dan pembangunan negara,” katanya.

Pelantikan bukan rakyat Sabah ke jawatan-jawatan penting dalam perkhidmatan awam bukan perkara asing dan diamalkan selama hampir 50 tahun.

Antaranya ialah Tengku Adlin dari Kelantan, yang pernah memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, dan Osman Walat, pengarah besar di Sawit Kinabalu, sebuah syarikat berkaitan kerajaan.