Campur tangan hakim: Tindakan lanjut selepas siasatan dalaman selesai

Liew Vui Keong merujuk dakwaan campur tangan hakim kanan dalam kes penukaran agama sebelah pihak 3 anak M Indira Gandhi dan kes hasutan mendiang Karpal Singh.

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata tindakan lanjut berhubung dakwaan campur tangan hakim kanan dalam 2 kes berprofil tinggi di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini, hanya akan diambil selepas siasatan dalaman oleh pejabat ketua hakim negara.

Liew berkata demikian dalam kenyataan hari ini merujuk dakwaan campur tangan hakim kanan dalam kes penukaran agama sebelah pihak anak M Indira Gandhi dan kes hasutan bekas ahli Parlimen, mendiang Karpal Singh.

Semalam, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dilaporkan berkata, beliau mengambil maklum dakwaan itu dan siasatan dalaman sedang dijalankan selepas kenyataan media berkaitan 2 kes itu.

Awal bulan ini, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer mendakwa beliau ditegur seorang hakim kanan kerana menulis penghakiman menentang, 2 tahun lepas dalam kes penukaran agama sebelah pihak 3 anak Indira.

Antara lain, Hamid menulis penghakiman penukaran agama kanak-kanak itu tidak sah kerana tiada kebenaran daripada ibu mereka.

Beliau seterusnya mendakwa akibat itu, beliau tidak lagi ditugaskan mendengar kes membabitkan kepentingan awam dan ada kaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Insiden ke-2 berbangkit selepas Sangeet Kaur Deo, anak perempuan Karpal membuat laporan polis susulan catatan peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla di Facebook yang mendakwa wujud campur tangan seorang hakim kanan dalam keputusan rayuan kes hasutan bekas pemimpin kanan DAP itu pada 2016.