Dr M beri jaminan layanan adil untuk Sabah, Sarawak

Gambar Bernama.

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan kerajaan akan memberi layanan adil kepada Sabah dan Sarawak, serta tidak akan membezakan pelaksanaan dasar dan pembangunan di kedua-dua negeri itu dengan negeri di Semenanjung Malaysia.

Perdana menteri berkata, dalam soal gaji minimum sebagai contoh, kedua-dua negeri itu akan menikmati jumlah sama dengan Semenanjung Malaysia, selain pembangunan infrastruktur yang sama.

“Kita perlu membangunkan infrastruktur di Sabah dan Sarawak supaya sama dengan infrastruktur di Semenanjung, tetapi harus diingat jumlah penduduk di sana kurang daripada Semenanjung.

“Sebab itu ternampak seolah-olah kita memberi keutamaan kepada penduduk di Semenanjung, tetapi sebenarnya kita mengambil kira ‘return on investment’ sama ada infrastruktur itu dapat digunakan sepenuhnya penduduk Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sesi dialog Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018, hari ini.

Beliau ditanya langkah kerajaan membantu Sabah dan Sarawak agar kedua-dua negeri itu mengecapi kemajuan seperti Semenanjung Malaysia.

Dr Mahathir berkata, kerajaan juga akan “menghidupkan” kembali Perjanjian Malaysia 1963 dan memberi tumpuan melaksanakan perkara terkandung di dalamnya berdasarkan kemampuan kerajaan.

Beliau juga berharap pihak yang mewakili Sabah dan Sarawak dapat menyuarakan pandangan mereka untuk memastikan kerajaan dapat membangunkan kedua-dua negeri berkenaan.

“Dalam Kabinet juga kita mempunyai cukup wakil-wakil daripada Sabah dan Sarawak dan mereka ini bukan orang yang diam sahaja, tetapi banyak menegur dan memberi perhatian kepada keadaan di Sabah dan Sarawak.”

Terdahulu, perdana menteri turut menyampaikan ucaptama dalam kongres itu yang menjadi wacana kepada usaha kerajaan menggubal agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang baru.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, subjek pendidikan agama Islam di tadika serta sekolah akan diubah supaya mampu membentuk keperibadian rakyat mengikut nilai murni berlandaskan Islam.

Katanya, penyemaian nilai murni sejak dari kecil mampu mewujudkan budaya masyarakat lebih baik pada masa depan.

Beliau berkata, ibu bapa pada masa ini terlalu sibuk dengan kerjaya dan tidak mempunyai masa banyak untuk mendidik anak mereka.

“Sebab itu anak-anak buas dan melakukan perbuatan tak baik.

“Kalau tak semai nilai-nilai mulia, maka mereka akan belajar nilai-nilai ini dari kawan mereka, dan kawan mereka bukan semuanya baik.”

Beliau menjawab soalan seorang peserta mengenai cadangan kerajaan membangunkan sistem pendidikan negara.

Dr Mahathir berkata, jika negara dapat membangunkan generasi akan datang dengan nilai murni, mereka akan menggunakan ilmu untuk kebaikan.

“Ilmu yang ada pada seseorang berguna jika kita pandai menggunakan ilmu itu. Kalau penyangak guna ilmu untuk mencuri, kalau orang yang baik, ilmu digunakan ke arah yang baik.”