Fomca: Restoran perlu letak ‘label’ jika kenakan cukai perkhidmatan

Fomca berkata pengguna akan merasa ‘lega’ dengan pengumuman itu kerana mereka tidak perlu membayar cukai perkhidmatan sebanyak 6% apabila makan di restoran. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyarankan agar restoran yang mengenakan cukai perkhidmatan mulai hari ini meletakkan “label” di restoran mereka sebagai tanda mereka mengutip cukai tersebut.

Timbalan Presiden Fomca Mohd Yusof Abdul Rahman berkata bertujuan supaya pengguna mengetahui restoran yang mereka masuki itu mengutip cukai perkhidmatan.

Selain itu, beliau berkata restoran yang tidak mempunyai “label” seharusnya tidak boleh mengutip cukai perkhidmatan.

“Kita tak mahu ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan kononnya mereka mengutip cukai perkhidmatan tapi cukai perkhidmatan itu tidak diserahkan kepada kerajaan.

“Sebab pengguna sendiri tak tahu nilai pelepasan sesebuah restoran, kerajaan yang ada data tentang restoran mana yang perlu mengenakan cukai tersebut, perlu ada satu bentuk label bagi memudahkan pengguna mengenali restoran yang mengenakan cukai itu,” katanya ketika dihubungi FMT.

Cadangan itu dikemukan susulan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pemberian nilai pelepasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak RM1.5 juta kepada semua pengusaha restoran dan kedai makan negara ini.

Lim berkata keputusan dibuat untuk memastikan kos sara hidup rakyat terjamin tanpa perlu membayar cukai perkhidmatan ketika berkunjung ke mana-mana restoran dan kedai kopi.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata pengumuman yang dibuat Lim itu merupakan satu pengumuman yang baik disebabkan sebelum ini cukai pelepasan untuk restoran adalah sebanyak RM500,000, dan bukannya RM1.5 juta.

“Maksudnya kalau RM500,000 mungkin banyak restoran akan mengenakan cukai perkhidmatan bila pelanggan makan di restoran tersebut. Sekarang ini apabila dia naikkan kepada RM1.5 juta, hanya restoran tahap seperti itu sahaja akan kenakan cukai perkhidmatan.

“Jadi bila restoran-restoran biasa ini apabila nilai pelepasan dia tak sampai RM1.5 juta, dia tak akan mengenakan cukai perkhidmatan dan banyak restoran biasa tak akan kenakan cukai perkhidmatan kepada pengguna.”

Katanya, pengguna juga akan merasa “lega” dengan pengumuman itu kerana mereka tidak perlu membayar cukai perkhidmatan sebanyak 6% apabila mereka makan.

Beliau turut menggesa, sekiranya terdapat restoran yang mengenakan cukai perkhidmatan, pengguna perlu membuat aduan kepada Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar pemilik restoran dikenakan tindakan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan SST akan mula berkuat kuasa hari ini, 1 September.