Anwar hormat keputusan PM lantik Rahim Noor jadi fasilitator

Anwar Ibrahim berucap dalam Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati keputusan perdana menteri melantik bekas ketua polis negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor yang pernah memukulnya ketika dalam tahanan polis 20 tahun lalu, sebagai fasilitator baru rundingan damai di selatan Thailand.

Presiden PKR itu percaya ia adalah keputusan terbaik dan semua pihak perlu memberi peluang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuktikan pilihannya tepat serta menerajui negara.

Pelbagai pihak membantah pelantikan Rahim, termasuk isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulung mereka, Nurul Izzah yang ragu-ragu dan tidak mudah menerima keputusan itu akibat peristiwa lampau.

“Nurul Izzah bebas beri pandangannya. Dia masa itu muda dan bila ayahnya dipukul, semua beri kesan, tetapi jika tanya saya, tentu ia tidak mudah, ada yang kata ini soal peribadi.

“Tetapi bagi saya, yang penting ialah pengajaran kepada rakyat bahawa orang yang ada kuasa jangan zalim, salah guna kuasa.

“Kalau sudah diberi mandat, kita kena beri ruang juga untuk memutuskan apa yang difikirkan sebaiknya,” katanya ketika berucap dalam Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Rahim meletak jawatan pada 1999 dan dipenjarakan 2 bulan pada tahun berikutnya kerana menyerang Anwar ketika dalam tahanan polis.

Beliau menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim yang dilantik kerajaan Barisan Nasional sebagai fasilitator rundingan damai antara Bangkok dengan pejuang Islam di selatan Thailand.

Pelantikan itu bagaimanapun menerima kecaman beberapa pihak, termasuk bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan veteran DAP, Dr Boo Cheng Hau.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau akan bersama pembangkang menegur dan membidas kerajaan pimpinan Pakatan Harapan, jika berlaku sebarang penyelewengan.

Katanya, amalan rasuah dan penyelewengan boleh dielakkan dengan memantau serta meneliti proses pemberian tender atau projek.

“Kita dahulu teliti setiap halaman dalam laporan ketua audit untuk gunakannya sebagai senjata untuk berperang dengan kerajaan. Sekarang, saya hendak ingatkan menteri, giliran pembangkang pula baca laporan audit dan serang kalau kita cuai.

“Kalau serangan pembangkang itu tepat dan ada kerosakan, penyelewengan dan kecuaian para menteri, saya akan bersama pembangkang untuk turut serang.”

Beliau berkata, selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, semua pihak termasuk rakyat juga perlu memantau tadbir urus kerajaan bagi memastikan tiada amalan rasuah.

“Harus pantau tugas-tugas dalam jabatan kerajaan, tugas menteri supaya dasar dijalankan dengan baik. Saya percaya jemaah menteri yang ada membawa hasrat baru dan tidak terikat dengan pemikiran lama.”