Jamaludin sudah berjaya, kaya semasa saya PM, kata Najib

PETALING JAYA: Najib Razak hari ini mempertahankan Jamaludin Jarjis daripada tuduhan mengatakan beliau menjadi kaya kerana hubungan mereka.

Bekas perdana menteri berkata Jamaludin sudah dikenali sebagai seorang ahli perniagaan berjaya semasa dia menjadi perdana menteri.

“Agak sedih pelbagai tuduhan dilempar kepada allahyarham yang tidak dapat menjawabnya segala tohmahan serkap jarang tanpa usul periksa,” katanya di Facebook.

Najib berkata Jamaludin Jarjis, yang terbunuh 3 tahun dulu dalam kemalangan helikopter, membeli sebuah syarikat bernama EPE Power pada 1986, yang kemudian disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada 1990-an.

“Ketika inilah, allahyarham memperolehi kekayaannya dan berupaya untuk membuat pelaburan dalam projek lain yang menghasilkan pendapatan kepadanya,” katanya.

Najib berkata pada 1990-an, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, EPE Power dianugerahkan projek penjana elektrik bebas (IPP) di Sabah. Jamaludin juga diberi beberapa projek kerajaan dan penswastaan, termasuk bengkel baikpulih tentera udara dengan Airod/Nadi dan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Dara).

“Semua projek penswastaan ini ada di dalam senarai projek-projek yang dikeluarkan oleh Dr Mahathir pada tahun 1998 ketika krisis antara beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Ibu Jamaludin Jarjis memfailkan tuntutan supaya harta bernilai RM2.1 bilion dibahagikan mengikut undang-undang Islam.

Najib juga difahamkan Jamaludin memiliki 10% saham dalam National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd (Nadi), iaitu syarikat induk kepada Airod Sdn Bhd (Airod) hasil penswastaan Dr Mahathir.

“Nadi pula ialah antara pelabur syarikat pernerbangan Malindo Air bersama syarikat Lion Air dari Indonesia,” katanya.

Najib berkata dia difahamkan anak-anaknya mengambil alih perniagaan Jamaludin semasa beliau bertugas sebagai duta ke Amerika Syarikat dan mereka meneruskan usaha pelaburan.

“Pelaburan-pelaburan ini termasuk menyelamatkan sebuah syarikat penjana elektrik bebas di Kulim yang diberi lesen pada tahun 1997 dan telah diambil alih oleh beberapa bank-bank tempatan pada tahun 2004 kerana gagal melangsaikan hutang sebanyak RM1.4 bilion,” katanya.

Najib berkata Jamaludin seorang yang berpelajaran tinggi dan seorang ahli perniagaan Melayu yang berjaya.

“Dia telah meninggal di bawah keadaan yang begitu tragis dan kita tidak patut bersangka buruk kepada beliau dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas,” katanya.

Kekayaan bekas menteri kewangan II ini menjadi perhatian apabila ibunya memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah mahu hartanya dibahagikan mengikut undang-undang Islam.

Bekas ahli majlis tertinggi Umno dan Ahli Parlimen Rompin ini meninggal dunia pada 4 April 2015. Beliau terbunuh apabila helikopter yang dinaikinya terhempas di Semenyih, Selangor.