Menjelang ulang tahun dipecat, Anwar dan Dr M kongsi pandangan sama kronisme

Anwar Ibrahim berkata, kerjasamanya dengan Dr Mahathir luar biasa, walaupun mereka pernah menjadi seteru politik selama 20 tahun.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah baik dan mereka berkongsi pandangan sama mengenai kronisme, menjelang ulang tahun ke-20 pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri atas dakwaan kronisme dan nepotisme.

Presiden PKR itu berkata, pendiriannya menentang kronisme dalam kerajaan tidak berubah seperti disuarakan pada 1990-an, khasnya berkaitan pemberian kontrak.

Tetapi, katanya, ada sedikit perbezaan dari segi “penekanan”.

“Saya tak fikir ada perbezaan pendapat di sini, hanya penekanan berbeza antara label kronisme ke atas mereka yang berjaya dan kronisme di mana mereka yang mempunyai hubungan politik mendapat kontrak.

“Apa yang kita beri perhatian adalah bagaimana sesuatu anugerah (kontrak) itu diberikan, adakah ia dilakukan secara telus?

“Ini yang saya percaya Dr Mahathir juga mengakui ada pemberian permit import (AP) kepada mereka yang tidak layak,” katanya pada sidang media selepas berucap dalam Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir menerusi ucaptamanya dalam kongres itu mempersoalkan pengkritik mengenai tindakan afirmatif untuk membantu ahli perniagaan Bumiputera dan mereka yang dilabelkan kroni sebenarnya ialah orang yang berjaya.

“Mereka yang gagal dapat projek tertentu akan menganggap mereka yang berjaya ini pula sebagai kroni. Walhal mereka juga dapat peluang yang sama.

“Sedangkan mereka yang gagal ini berhutang kepada bank, ada masalah hingga menjadi bankrap, maka mereka tidak ditakrif sebagai kroni kerajaan. Kita senang hati tuduh mereka ini kroni.”

Anwar berkata, beliau turut berkongsi kritikan Dr Mahathir terhadap pihak yang menyalahgunakan AP untuk mengimport kenderaan.

Beliau turut menyifatkan kerjasamanya dengan Dr Mahathir luar biasa, selepas 20 tahun menjadi seteru politik.

“Allah takdirkan kita muafakat semula untuk kepentingan negara, kedua-dua kami merasakan patut bersama untuk menyelamatkan negara daripada keruntuhan akibat penyalahgunaan kuasa.”

Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan Kabinet Dr Mahathir pada 2 September 1998. Beliau kemudiannya ditahan dan didakwa menyalahgunakan kuasa serta meliwat, tuduhan yang dikatakannya bertujuan menamatkan kerjaya politiknya.

Mereka berdua melupakan dendam lampau pada 2016 dan bekerjasama di bawah Pakatan Harapan untuk menjatuhkan Barisan Nasional. Gabungan itu bersetuju melantik Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir yang berkata, beliau akan memegang jawatan nombor 1 itu untuk tempoh singkat.

Anwar berkata, peranannya sekarang ialah menyokong dan memberi ruang kepada Dr Mahathir menerajui negara.

“Kedudukan saya, kami di sini adalah untuk menyokong Mahathir untuk berikan ruang bersama pasukan. Walaupun gosip di luar sana hangat, tetapi faktanya kita mempunyai hubungan yang baik.”

Walaupun tiada jawatan dalam kerajaan, beliau sentiasa berbincang dengan menteri.

“Mahathir memberi meeka lampu hijau untuk berunding dengan saya, jika perlu.”