Akta sabotaj ekonomi dikaji atasi amalan jual kontrak Bumiputera

Abu Kassim Mohamed berkata, kekurangan undang-undang mempertahankan hak dan keistimewaan Bumiputera menyebabkan ada pihak menyalahgunakan keistimewaan itu. (Bernama pic)

KUALA LUMPUR: Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) akan mengkaji kemungkinan memperkenalkan undang-undang sabotaj ekonomi negara bagi mengelakkan amalan menjual kontrak atau menyewa permit kepada pihak lain terus berleluasa.

Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, individu yang masih meneruskan perniagaan secara Ali Baba juga boleh dianggap pengkhianat negara.

“Yang paling bahaya dalam negara kita adalah budaya, apabila bercakap mengenai Ali Baba, perkataan yang keluar adalah ‘biasalah dari atas sampai ke bawah, jadi hendak buat macam mana’.

“Ia sudah diterima sebagai suatu nilai biasa. Kita mahu mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat dari segi pengusaha Bumiputera.

“Jika mereka dapat kontrak dan mereka jualnya, maka tindakan undang-undang perlu diambil, begitu juga mereka yang membeli,” katanya dalam Kongress Bumiputera Nasional di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengkaji kebolehlaksanaan undang-undang yang dicadangkan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu itu, sebelum menyerahkannya kepada Kabinet.

Katanya, kekurangan undang-undang mempertahankan hak dan keistimewaan Bumiputera seperti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menyebabkan ada pihak yang menyalahgunakan keistimewaan itu.

“Anda semua mahukan pembuat dasar lakukan perkara betul, begitu juga pegawai kerajaan buat dasar yang betul, tetapi anda sendiri yang buat kerja tidak betul.

“Kita bercakap soal ini yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak merdeka lagi, tetapi masalahnya apabila ada yang mengkhianati Perkara 153, tidak ada hukuman kepada mereka.”

Abu Kassim berkata, tidak guna kerajaan merangka dasar baik, tetapi rakyat, khasnya kontraktor dan peniaga tiada integriti untuk melaksanakannya.

“Kita ada suatu polisi yang baik, tetapi tidak ada orang yang selayaknya untuk laksanakan polisi, banyak cerita di mana dasar dibuat atau dasar yang ada adalah direka bagi mendapatkan keuntungan.”