Kita boleh jadi Bumiputera baru, kata Azmin

Azmin Ali berbual dengan Anwar Ibrahim pada majlis penutup Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali mengisytiharkan kelahiran “Bumiputera baru” yang disifatkannya menjunjung nilai moral tinggi, integriti dan berfikiran progresif.

Dalam ucapan penutupnya di Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara, Azmin membidas mereka yang membantah kongres anjuran kementeriannya.

“Kita bukannya hendak mengambil hak sesiapa, tetapi kita percaya melalui pengagihan sama rata dan kestabilan pembangunan ekonomi, negara akan terus makmur,” katanya sambil menambah itu ialah tema program hari ini.

Azmin berkata, ini adalah kali pertama isu berkaitan nilai moral, etika dan integriti dibincangkan dalam kongres itu, bukannya bantuan serta sokongan politik dari kerajaan.

Beliau memberi contoh pandangan “radikal” dikemukakan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang hendak menghentikan amalan perniagaan Ali Baba dan mengkaji kemungkinan memperkenalkan undang-undang sabotaj ekonomi negara.

“Jika dia bercakap seperti ini sebelum ini, dia akan ‘hilang’. Tetapi, ini kerajaan baru yang memberi ruang kepada SPRM untuk menghapuskan industri pelobi, amalan Ali Baba dan memperkenalkan undang-undang baru.”

Perniagaan Ali Baba merujuk amalan menjual kontrak kerajaan atau menyewa permit yang diberikan kepada ahli perniagaan Bumiputera kepada peniaga Cina.

Azmin berkata, 71% golongan berpendapatan rendah (B40) ialah Bumiputera dan purata gaji mereka ialah RM900 atau lebih rendah daripada golongan bukan Bumiputera B40.

“Apa salahnya kita beri ruang untuk mereka memperbaiki status ekonomi mereka, adakah ia berdosa?”

Beliau berharap kongres itu akan membentuk integriti Bumiputera yang progresif.

“Jangan lagi berfikir seperti dahulu, ini bukannya Melayu yang rasuah atau Ali Baba,” katanya sambil menambah masalah tidak akan selesai jika Bumiputera membiarkan amalan rasuah, Ali Baba dan penggunaan surat sokongan untuk mendapatkan projek, berterusan.

Sementara itu, Azmin memuji Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ikon negara yang terbukti mempunyai rekod cemerlang dalam pengurusan ekonomi Malaysia.

“Saya tahu jiwa, saya tahu wataknya dan saya tahu siapa Anwar Ibrahim dan saya yakin. Sebab itu saya setia kepada beliau sehingga ke hari ini. Namun jangan tafsir lebih dari itu,” katanya sebelum memeluk Anwar di pentas.