‘Mesyuarat bincang larangan warga asing beli hartanah di Forest City Isnin ini’

Zuraida Kamaruddin berkata, kementeriannya akan membawa hasil perbincangan itu ke Kabinet.

KAJANG: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menemui pihak terbabit dalam Forest City bagi membincangkan larangan warga asing membeli hartanah dalam projek di Johor itu, Isnin ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya terbabit adalah Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), wakil kerajaan Johor, pemaju Forest City – Country Garden Pacificview Sdn Bhd (Country Garden) dan pihak berkuasa tempatan.

“Sebenarnya, kami telah susun untuk adakan satu mesyuarat pada Isnin ini untuk pemaju bentangkan kepada kita apa yang berlaku ketika zaman kerajaan lepas berhubung projek Forest City.

“Selepas itu, kita akan tengok dan bawa hasil perbincangan itu ke Kabinet untuk lihat polisi pembelian hartanah melibatkan orang asing,” katanya selepas melawat tapak projek pembangunan Eco Majestic di Semenyih, hari ini.

Pada 27 Ogos lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak akan membenarkan warga asing membeli unit kediaman dalam projek Forest City dan tiada visa untuk mereka tinggal di negara ini.

Susulan itu, Zuraida dilaporkan berkata, perdana menteri mengarahkan penubuhan sebuah jawatankuasa yang akan dianggotai kementeriannya, Kementerian Kewangan, kerajaan Johor dan pemaju bagi memperhalusi larangan itu.

Pemaju Forest City bagaimanapun berkata, kenyataan Dr Mahathir tidak sama dengan hasil pertemuannya dengan Pengerusi Country Garden Holdings, Yeung Kwok Keung pada 16 Ogos lalu.

Katanya, mereka akan mendapatkan penjelasan perdana menteri berhubung larangan itu yang “mungkin tersasar daripada konteks dalam laporan media tertentu”.

Kos bahan binaan mungkin turun 10%

Sementara itu, Zuraida berkata, pihaknya menjangkakan kos bahan binaan akan berkurangan 10%, susulan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula hari ini.

Katanya, 70% daripada harga rumah merangkumi bahan binaan dan kos itu boleh dikurangkan susulan pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST).