Projek LRT di Kuching ditangguh, bukan batal, kata ketua menteri

Abang Johari Openg berkata, di kawasan yang diliputi laluan LRT dicadangkan itu, populasinya kini mencecah hampir sejuta orang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Projek sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Kuching bukan lagi keutamaan dalam agenda pembangunan Sarawak, kata ketua menterinya.

Bagaimanapun, Datuk Abang Johari Openg berkata, beliau tidak akan membatalkan projek yang dalam perancangan itu.

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu memberitahu Borneo Post beliau tidak tahu kenapa sebuah portal berita memetik sumber tidak dinamakan yang mendakwa beliau akan membatalkan projek itu.

Bercakap selepas mempengerusikan Majlis Tertingi PBB di ibu pejabat parti itu hari ini, katanya, penangguhan itu akan memberi laluan kepada Sarawak memfokuskan pembangunan luar bandar.

Dalam laporan sebelum ini, Abang Johari berkata, beliau tahu ramai pengkritik yakin beliau silap dalam perancangan untuk LRT di Kuching.

“Saya akan tunjukkan saya betul kerana saya sedang memikirkan masa depan Kuching, dan mereka silap kerana fikir Kuching tidak mempunyai masa depan.”

Katanya, jumlah penduduk Kuching meningkat daripada 150,000 orang pada 1960 kepada 315,000 orang pada 1980 dan 510,000 orang pada 2000 serta 685,000 orang pada 2017, di mana populasinya akan terus bertambah.

Beliau berkata, di kawasan yang diliputi laluan LRT dicadangkan itu, populasinya kini menghampiri 1 juta orang.

Projek LRT yang akan menghubungkan Serian-Kota Samarahan-Kuching sepanjang 154.2km akan bermula tahun depan dan dijangka beroperasi menjelang 2024.