Singapura akan kaji laluan ke-3 Pulau Ubin-Pengerang

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura Desmond Lee. (Gambar Facebook)

SINGAPURA: Singapura akan mengkaji secara teliti mengenai cadangan Malaysia untuk membina laluan ke-3 bagi menghubungkan Johor dengan Singapura melalui Pulau Ubin apabila ia dikemukakan.

Setakat ini, Singapura belum menerima sebarang cadangan rasmi mengenainya dari Malaysia.

“Jika kita menerima cadangan itu, agensi berkaitan pasti akan mengkajinya secara teliti,” menurut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura, Desmond Lee, melalui Facebooknya semalam.

Lee, yang juga Menteri Kedua Pembangunan Negara, berada di Pulau Ubin bagi mesyuarat sukuan dengan anggota Friends of Ubin Network (FUN).

Beliau ditanya mengenai laporan bahawa Johor akan mengkaji kemungkinan laluan ke-3 itu semasa luar mesyuarat tersebut.

“Saya menjelaskan bahawa kita tidak menerima cadangan Malaysia dan tidak mempunyai butiran mengenainya,” katanya dalam catatan itu.

Lee memberi jaminan kepada anggota FUN yang menjalankan Projek Ubin, termasuk kajian pemuliharaan rumah-rumah kampung.

“Kita akan mengekalkan Pulau Ubin yang kedesaan dan melindungi warisan serta biodiversitinya,” menurutnya.

Pada 30 Ogos lepas, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata kerajaan Johor berhasrat untuk membina laluan ke-3 itu bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Bagaimanapun, beliau berkata cadangan tersebut perlu terlebih dahulu dikemukakan kepada kerajaan pusat untuk dipertimbangkan.

Rancangan berkenaan bertujuan menghubungkan Pengerang, Johor dengan Pulau Ubin, Singapura menerusi jambatan sepanjang 3 km dan sebuah terowong dasar laut.