Siti Kasim gesa kerajaan umum moratorium tangani isu Orang Asli

Siti Kasim turut mencadangkan kerajaan berunding dengan akar umbi, peguam Orang Asli dan orang yang pakar dalam isu Orang Asli.

KUALA LUMPUR: Peguam dan aktivis sosial, Siti Kasim meminta kerajaan menggunakan kuasa yang ada untuk mengumumkan moratorium bagi menangani isu Orang Asli di Gua Musang.

Beliau berkata kerajaan perlu menghentikan mana-mana agensi daripada merobohkan sekatan Orang Asli.

“Saya gembira apabila mendengar Kerajaan Persekutuan mahu membuat sesuatu (tanah orang Asli di Gua Musang).

“Tetapi anda tidak boleh mengatakan anda sedang melakukan sesuatu tetapi pada masa sama pembalak dan pengusaha tanaman merosakkan tanah orang Asli,” katanya ketika ditemui di majlis sambutan Harapan Malaysia Baru sempena Hari Kemerdekaan di Bukit Damansara semalam.

Siti sebelum ini mempersoalkan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa berhubung pertemuannya dengan syarikat pengusaha ladang durian Musang King, awal bulan lalu bagi merobohkan sekatan yang dibentuk masyarakat Temiar di Gua Musang.

Bagaimanapun Sivarasa menafikan dakwaan Siti mengatakan pencerobohan itu dilakukan oleh syarikat itu sendiri tanpa mendapat sebarang arahan daripada beliau mahupun pembantunya.

Terbaharu, kerajaan negeri Kelantan turut bertindak merobohkan sekatan pembalakan yang dibina Orang Asli terbabit.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata tindakan itu dibuat berikutan sekatan itu mendapat aduan daripada kaum Orang Asli di kawasan itu sendiri.

Mengulas lanjut, Siti berkata kerajaan juga perlu berunding dengan betul seperti dengan akar umbi, peguam Orang Asli dan orang yang pakar dalam isu Orang Asli.

“Ini disebabkan ramai mengaku dan berlakon berjuang untuk Orang Asli tetapi mereka tidak tahu mengenai undang-undang dan cara terbaik untuk menyelesaikannya.

“Kerajaan boleh kerjasama dengan Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli). Gunakan kuasa yang ada pada kerajaan. Polis juga di bawah kuasa kerajaan. Banyak cara boleh dilakukan.”