SPRM mohon lanjut reman bekas ketua risikan Hasanah esok

Hasanah Abdul Hamid sedang disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memohon lanjutan reman terhadap Datuk Hasanah Abdul Hamid kerana siasatan masih dijalankan ke atas dakwaan bekas ketua risikan itu menyeleweng dana pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Peguamnya, Datuk Shaharudin Ali memberitahu FMT, beliau dimaklumkan Hasanah akan dibawa ke Mahkamah Majistret di Putrajaya, esok, untuk memohon lanjutan reman itu.

Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) itu ditahan SPRM, Selasa lalu, dan beliau kini disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.

SPRM turut merampas wang tunai lebih AS$6.3 juta di sebuah kondominium di Cyberjaya.

Siasatan awal SPRM mendapati Hasanah dipercayai terbabit menyalahgunakan dana PRU14 untuk tujuan peribadi, bersama 7 pegawai lain di Jabatan Perdana Menteri.

Seorang timbalan ketua pengarah jabatan bergelar “Datuk” bersama 6 pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang direman sejak 28 Ogos lalu untuk membantu siasatan kes penyelewengan dana PRU14, dibebaskan hari ini.

Hasanah menjadi tumpuan media selepas terdedah surat bertarikh 4 Mei lalu kepada Pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA), Gina Haspel meminta Amerika Syarikat menyokong pentadbiran bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, jika Barisan Nasional memenangi PRU14.