Wan Azizah: Dakwaan Azmin tak setia kepada Anwar hanya persepsi

Wan Azizah Wan Ismail berharap semua pihak mengamalkan persaingan sihat dalam pemilihan PKR bermula 14 September hingga 13 Oktober ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan dakwaan calon timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak konsisten dalam menyatakan kesetiaannya kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanyalah persepsi semata-mata.

Katanya, kemungkinan persepsi itu sengaja ditimbulkan bagi menghangatkan suasana pemilihan PKR yang bakal berlangsung bermula 14 September ini.

“Saya kira itu hanya persepsi. Persepsi itu ramai orang boleh keluarkan dalam rangka persaingan dalam parti, tetapi apa yang kita mahu persaingan itu biarlah persaingan sihat.

“Oleh itu, kita teruskan dengan siapa yang kita akan pilih, dan memilih itu perlu bersandarkan amalan demokrasi,” katanya selepas majlis minum petang bersama penduduk PPR Lembah Subang di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Pengelola Pemuda PKR Sabah, Razeef Rakimin, hari ini, yang mendakwa Azmin tidak konsisten dalam menyatakan kesetiaan kepada Anwar.

Dakwaan itu dibuat berikutan Azmin gagal menyatakan pendirian serta sokongannya kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Seramai 800,000 ahli PKR dijangka mengundi dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan bermula 14 September hingga 13 Oktober ini.

Jawatan timbalan presiden parti itu bakal menyaksikan pertembungan sengit antara penyandang, Azmin dengan bekas ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Anwar sebelum ini menang tanpa bertanding bagi kerusi presiden PKR, selepas tempoh pencalonan bagi jawatan itu ditutup pada 5 Ogos lalu.