Anwar akui sukar pulih ekonomi negara jika jadi PM sekarang

Anwar Ibrahim hairan dengan tindakan sesetengah pemimpin Umno mengkritik kerajaan baru, sedangkan ‘kerosakan’ negara berpunca daripada mereka.

ALOR SETAR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau akan berdepan kesukaran mengurus dan memulihkan ekonomi negara, sekiranya memegang jawatan perdana menteri ketika ini.

Presiden PKR itu berkata, ini kerana negara dibebani hutang besar yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Justeru, katanya, memegang jawatan nombor 1 negara bukan tugas mudah kerana tiada siapa menjangkakan ekonomi negara seteruk ini, selain terpalit skandal 1MDB yang memburukkan lagi imej negara di mata dunia.

“Kerajaan baru memang banyak cabaran, kalau saya jadi perdana menteri pun tidak mudah, tiada siapa boleh jangka ekonomi negara kita teruk macam ini, dengan masalah Felda dan 1MDB,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Kedah dan Perlis, hari ini.

Beliau berkata, apa yang menghairankan ketika ini apabila dalam kalangan pemimpin Umno yang mengkritik kerajaan baru dengan pelbagai modal, sedangkan “kerosakan” negara itu berpunca daripada mereka.

Mengenai pemilihan PKR, Anwar berkata, pihaknya tidak rela ada pemimpin menyalahgunakan kedudukan untuk meraih undi kerana setiap jawatan adalah amanah yang perlu dipikul untuk membawa agenda transformasi.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan menyingkirkan mana-mana calon yang kalah dalam pemilihan, sebaliknya mereka akan dibawa bersama untuk menerajui parti pada masa akan datang.

“Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan anggota parti pilihlah pemimpin yang jujur, baik, istiqamah dalam perjuangan, tidak sombong dan tidak tunjuk kekayaan, tapi mempamerkan kesederhanaan serta tegas mempertahankan parti.”

Pemilihan parti itu akan berlangsung pada 14 September hingga 13 Oktober ini di seluruh negara.