Azmin: Tak relevan kaitkan krisis MB Selangor dan pemilihan PKR

Azmin Ali berkata, mustahil seseorang boleh menentukan kedudukan individu lain.

PETALING JAYA: Datuk Seri Azmin Ali berkata, tindakan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mengaitkan pemilihan parti dengan krisis menteri besar Selangor pada 2014 sebagai tidak relevan.

Timbalan presiden PKR itu berkata, tugas memilih dan melantik menteri besar Selangor tidak boleh dilakukan secara bersendirian.

“Saya kira presiden parti sudah berulang kali mengeluarkan kenyataan menjelaskan proses yang berlangsung, sudah tentulah pemilihan mana-mana menteri besar itu melalui proses.

“Tidak mungkin seseorang individu boleh menentukan kedudukan individu lain. Saya ingat benda itu tidak relevan kerana ia sudah dijelaskan presiden,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Perdana Selangor, di Dewan Sivik MBPJ, hari ini.

Azmin menjawab dakwaan Sani yang meminta ahli PKR memilih pemimpin jujur untuk berganding dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pemilihan parti tahun ini.

Sani dilaporkan berkata, PKR memerlukan pemimpin sehaluan dengan Anwar dalam melaksanakan agenda reformasi, bukannya individu yang setia kepada mereka yang berkuasa.

Beliau turut membangkitkan kisah bagaimana Azmin dilantik sebagai menteri besar Selangor pada 2014 yang pada asalnya tidak dicalonkan parti pembangkang ketika itu.

Krisis menteri besar Selangor bermula dengan Langkah Kajang oleh Rafizi Ramli yang ketika itu ialah pengarah strategi PKR pada pilihan raya kecil Kajang, pada 2014.

Pakatan Rakyat mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal menteri besar Selangor, namun pihak istana akhirnya memilih Azmin sebagai menteri besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Hari ini, Azmin berkata, dakwaan Sani itu ialah pandangan peribadinya dan memintanya merujuk kenyataan dikeluarkan parti.

Menteri hal ehwal ekonomi itu turut mempersoalkan tindakan Sani meminta dirinya dan calon naib presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mengosongkan kerusi Parlimen mereka untuk memberi laluan kepada Anwar.

“Siapa yang tidak menyerah (kerusi), maksudnya tidak setialah? Dalam konteks itu, (berdasarkan) pemahaman saya, seolah-olah siapa yang tidak menyerahkan kerusi bermakna tidak setia.

“Jadi, bagaimana dengan kenyataan Nurul Izzah sebelum ini?” soalnya merujuk kenyataan anak sulung Anwar pada 6 Ogos lalu yang komited berkhidmat kepada penduduk Permatang Pauh sehingga tamat penggal 5 tahun ini.